Pasangan kekasih khalwat bersama tiga rakan di hotel

KUALA TERENGGANU- Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam, menjatuhkan hukuman denda RM2,300 terhadap sepasang kekasih selepas mengaku bersalah berkhalwat bersama tiga lagi rakan di sebuah hotel, pada Jun 2012.

Hakim Syarie Kamalruazmi Ismail turut memerintahkan pasangan itu, Mohamad Nazri Aliliah @ Alias, 21, dari Marang dan Syafiqah Husna Mohd Nor, 19, juga dari Marang, dipenjarakan tiga bulan sekiranya gagal menjelaskan jumlah denda berkenaan.

Kamalruazmi Ismail membuat keputusan itu selepas Mohamad Nazri yang bekerja sebagai buruh dan pasangannya, Syafiqah Husna mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana berkhalwat.

Berdasarkan fakta kes, pasangan itu mengaku bersalah melakukan khalwat di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Sultan Zainal Abidin, di sini jam 10 pagi pada 25 Jun 2012.

Hasil pemeriksaan mendapati, pasangan itu bukan suami isteri atau mahram.

Bagaimanapun, selepas kejadian itu, pasangan berkenaan berkahwin dan kini mempunyai seorang cahaya mata.

Selain pasangan muda itu, seorang rakan mereka, Nurul Syazwani Zulkifli, 19, dari Bukit Payong, Marang turut dikenakan pertuduhan sama dijatuhi hukuman denda RM2,400 atau tiga bulan penjara jika gagal menjelaskan
denda berkenaan.

Bagaimanapun dua lagi tertuduh, Siti Normaisarah Alias, 20, dari Manir, di sini sudah pun menjalani hukuman selama enam bulan di Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan, Selangor sementara satu waran tangkap sudah dikeluarkan terhadap Abdul Rahman Razak, 21, dari Bukit Payong, Marang selepas gagal hadir ke mahkamah.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Ketua Pendakwa Syarie, Jabatan Undang-undang dan Pendakwaan Terengganu.

Mengikut fakta kes, sepasukan pegawai dan anggota membuat serbuan di sebuah bilik hotel di Jalan Sultan Zainal Abidin kira-kira jam 10 pagi pada 25 Jun 2012.

Ketika serbuan, pintu berada dalam keadaan tertutup dan berkunci sebelum dibuka oleh Siti Nor Maisarah. Sebaik dibuka, Abdul Rahman duduk di atas katil manakala Mohamad Nazri sedang tidur di atas katil.

Dua lagi tertuduh wanita berada di sebuah katil berasingan sebelum pemeriksaan mendapati mereka bukan suami isteri atau mahram.

0 Response to "Pasangan kekasih khalwat bersama tiga rakan di hotel "

Catat Ulasan