Jackie Chan mohon maaf anaknya, Jaycee terlibat dengan dadah

Beijing : Bintang Kung Fu, Jackie Chan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh masyarakat selepas anaknya, Jaycee Chan yang juga seorang pelakon, penyanyi dan sosialis ditahan di Beijing kerana terkait dengan isu penggunaan dadah. 

Jackie Chan, 60, adalah duta dan jurucakap Jawatankuasa Anti-Dadah Kebangsaan China pada 2009, yang mana ianya mempromosikan tentang pendidikan anti-dadah. 

Jaycee, 32, telah ditahan pada Isnin lalu, selepas pihak polis menemui 100 gram marijuana di kediaman pangsapurinya. 

"Waktu  menerima berita penangkapan Jaycee, saya terkejut. Dan,sebagai  seorang yang menjadi perhatian masyarakat, sudah tentu saya berasa amat malu dengan perbuatannya. 

"Tetapi, sebagai bapa pula saya berasa amat sedih dan kecewa. Namun, yang paling-paling hancur menerima perkhabaran ini adalah ibunya. 

"Saya harap generasi muda hari ini akan dapat mempelajari kesilapan dan kesalahan yang dilakukan oleh Jaycee dan akan cuba menjauhkan diri daripada penyalahgunaan dadah," kata Jackie Chan di dalam blog peribadinya pada Rabu lalu. 

Bintang Hollywood Rush Hour 4 ini juga sempat memberikan nasihat peribadi kepada anaknya. 

"Kamu telah melakukan kesalahan dan kamu harus bertanggungjawab di atas setiap kesalahan yang kamu lakukan. Saya bapa kamu dan saya akan sentiasa bersama kamu. 

"Kita akan sama-sama berdepan dengan apa jua keadaan yang menunggu kita di hadapan. Saya juga harus bertanggungjawab memikul kesalahan yang dilakukan Jaycee kerana sebagai seorang ayah, saya tidak mendidiknya dengan sempurna. 

"Untuk itu, bagi pihak Jaycee dan saya sendiri, saya ingin mengambil kesempatan ini, untuk menyatakan rasa maaf yang tidak terhingga kerana telah mencetuskan kesan yang negatif kepada masyarakat," katanya lagi. 

Anak tunggal Jackie Chan itu adalah selebriti terkini yang ditangkap dalam kempen anti-dadah di China. Penggunaan dadah di kalangan golongan elit di China dikatakan sangat berleluasa dan ianya telah mencetuskan jurang yang begitu mendalam di antara golongan miskin dengan kaya. 
Malah penggunaan dadah sintetik seperti methamphetamine, ketamine and ecstasy juga semakin meningkat bersama kewujudan puak kelas baru urban.
Minggu lalu, sebanyak 42 pihak pengurusan syarikat artis telah menandatangani perjanjian dengan pihak polis Beijing untuk tidak bekerja dengan selebriti yang menggunakan dadah.Murai

0 Response to "Jackie Chan mohon maaf anaknya, Jaycee terlibat dengan dadah"

Catat Ulasan