Video Cemas : Rompakan kediaman Noryn Aziz di Bukit Damansara



PANIK, cemas dan huru-hara, itu gambaran suasana yang berlaku kepada wanita sarat hamil anak pertama, Noryn Aziz apabila rakan-rakannya diserang empat penyamun bersenjatakan parang di hadapan kediamannya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur.
Bukan sahaja melibatkan orang dewasa, lebih menggerunkan apabila kejadian samun bersenjata itu berlaku di depan mata beberapa orang kanak-kanak.
"Saya masih trauma, selepas kejadian kira-kira pukul 10 malam Rabu lalu, saya langsung tidak boleh tidur. Duduk termangu di atas katil sambil mata asyik memerhatikan rakaman kamera litar tertutup (CCTV). Fikiran saya kosong," luah Noryn.
Matanya berkaca saat diminta bercerita semula. Sungguh, peristiwa diserang penyamun itu merupakan satu tragedi buatnya yang sedang menghitung hari. Bukan dia seorang sahaja, trauma yang sama turut dirasai seorang rakan artisnya, Eja Saifuddin serta dua orang sahabat karibnya yang hanya dikenali sebagai Suhara dan Adrina.
"Saya rasa ralat, sebab kejadian berlaku di depan rumah saya. Niat saya untuk merapatkan ukhuwah dan bermesra dengan kawan-kawan, tak sangka begini pula jadinya," ujar Noryn hiba.
Rabu lalu, selepas mengadakan jamuan ringkas Aidilfitri yang sekali gus menjadi majlis baby shower memandangkan usia kandungan Noryn sudah mencecah 38 minggu, suasana bahagia bersama kira-kira 10 sahabat karib itu tiba-tiba bertukar menjadi detik hitam.
"Ketika kejadian, saya sudah masuk ke rumah tiba-tiba terdengar bunyi jeritan di luar. Saya tinjau ke pintu pagar tetapi berpatah balik kerana ternampak seorang lelaki meluru sambil memegang parang. Takut dan berdebarnya, hanya Allah sahaja yang tahu" kata Noryn yang tersadung dan hampir tersungkur kerana panik.
Ketika itu, Eja bersama anaknya Eishal, dua rakannya iaitu Suhara dan Edrina rupa-rupanya sudah bergelut dengan empat lelaki di luar pagar. Beg tangan Eja, rakan dan pembantu rumah rakannya disamun oleh pemuda yang menunggang motosikal. Pembantu rumah seorang rakannya turut cedera tetapi sempat melarikan diri. Semasa kejadian, masing-masing hendak menuju ke kereta.
"Semasa masuk semula ke rumah, kami semua menjerit agar semua orang yang ada di luar rumah masuk ke dalam. Ibu yang ada di dalam rumah tolong saya tutupkan pintu, ketika itu rasa pintu rumah digegar. Apabila kami menjerit memanggil nama adik lelaki saya yang berada di tingkat atas, barulah penyamun itu keluar dari pekarangan rumah dengan memanjat penjuru pagar," cerita Noryn yang kini mengambil langkah menggandakan aspek keselamatan di rumahnya.
Sebagaimana kebahagiaan yang mahu dikongsi bersama rakan-rakan baik, Eja yang menjadi salah seorang mangsa masih tidak dapat menahan emosi saat dihubungi Sensasi Bintang baru-baru ini.
"Tragedi yang menimpa kami agak tragik. Semasa kami semua sedang bersalam mahu beredar, tiba-tiba saya terdengar suara lelaki melaungkan 'kami pun beraya juga'. Saya pelik tapi masa itu juga dia (penyamun) minta saya serahkan gelang dan rantai. Saya kata 'tak ada', jadi dia tarik beg tangan dan mengacukan parang ke muka. Takutnya bukan kepalang. Saya fikir tak guna melawan, saya serahkan beg dan lari semula ke rumah Noryn," ujar Eja yang masih bersyukur kerana mereka semua selamat.
Paling utama, musibah itu tidak menjejaskan fizikal anak-anak yang masih kecil. Eja kerugian barang-barang berharga termasuk dua telefon bimbit dan sebuah tablet.
"Kami semua masih bersyukur kerana anak saya serta beberapa orang kanak-kanak yang ada di tempat kejadian tidak diserang," jelas Eja.
Sedih dan menggeletar mengenangkan pengalaman berkenaan, lebih mendukacitakan kata, perbuatan terkutuk itu dilakukan oleh anak bangsa sendiri.
"Mereka bukan sahaja penyamun tetapi samseng dan penyangak. Sudah dapat tiga beg tangan tetapi masih kejar kami sampai ke rumah. Itu biadap dan tamak. Lebih sedih apabila kejahatan itu dilakukan pada bulan Syawal. Saya harap mereka segera ditangkap pihak berkuasa," luah Eja dengan suara bergetar.
Kata Eja, mujur tiga orang lagi rakan artis iaitu Nurul Wahab, Betty Benafe dan Natasha Hudson yang masing-masing mendukung anak kecil sudah pulang terlebih dahulu.
Kes samun melibatkan Eja, Noryn sebagai tuan rumah serta dua rakannya kini dalam siasatan Balai Polis Travers, Bangsar. Kosmo 

0 Response to "Video Cemas : Rompakan kediaman Noryn Aziz di Bukit Damansara"

Catat Ulasan