Luahan hati TMJ selepas JDT tewas Final Piala Malaysia 2014

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada pasukan Pahang kerana telah berjaya memenangi Piala Malaysia dua tahun berturut-turut.

Saya juga ingin mengucapkan syabas kepada para pemain pasukan Johor Darul Ta’zim kerana telah berusaha sedaya upaya mereka. Dan tidak dilupakan juga, setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh rakyat Johor kerana sentiasa setia bersama pasukan walau apa rintangan mendatang. 

Terima kasih kerana bersatu sebagai rakyat Johor dan memberi sokongan kepada pasukan kebanggaan dan kesayangan kita.

Kepada rakyat Johor sekalian,Peristiwa yang lalu tidak dapat diubah, tetapi kita mampu mempengaruhi masa depan. Kejayaan bukan diukur dengan kedudukan seseorang itu, tetapi dengan segala rintangan yang diatasi untuk mencapainya.
 
Musim ini merupakan satu musim yang baik untuk JDT. Tentunya ia lebih hebat sekiranya kita menang pada malam ini, tetapi kita perlu terima keputusan ini dan terus maju kehadapan, kerana hidup mesti diteruskan. 

Kita telah berusaha terlalu gigih dan terlalu lama untuk membiarkan sesuatu menjadi penghalang bagi mencapai matlamat yang kita idamkan. 

Kita mestilah sentiasa kekal bermotivasi dengan dorongan untuk mencapai sesuatu, dan bukannya keinginan untuk menjatuhkan orang lain.

Janganlah bersedih, dan janganlah hampa, kerana kita masih bernafas. Dunia belum berakhir, ianya cuma sedikit halangan dalam perjalanan kita. Jangan berputus asa, pandang ke hadapan, dan seperti yang saya selalu katakan, apabila beluncas menyangkakan dunianya telah berakhir, ianya bertukar menjadi rama-rama. 

Marilah kita terus bersyukur dan kekal positif. Jangan dinilai hari kita dengan apa yang dituai, tetapi dengan benih yang disemai.

Sayangilah orang yang tersayang, hargai apa yang kita miliki, dan teruskan hidup.
Hidup Johor Demi Johor
Jumpa lagi di musim hadapan.

– Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor. Credit Johor Southern Tigers

0 Response to "Luahan hati TMJ selepas JDT tewas Final Piala Malaysia 2014"

Catat Ulasan