Katanya, buat masa ini dia masih belum berani keluar rumah bersendirian dan seboleh-boleh cuba mengelak daripada bertembung dengan mana-mana lelaki yang memakai topi keledar.

"Kalau dalam rumah pun orang boleh buat macam ini, saya tak boleh bayangkan kalau saya bersendirian di luar.
“Kejadian ini mengajar kami sekeluarga supaya lebih berhati-hati walaupun berada di dalam rumah sendiri," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Wakaf Berangan, di sini hari ini.

Dalam kejadian Ahad lalu, Nur Syafiqa menempuh pengalaman ngeri apabila mukanya ditumbuk dan ditoreh dengan sebilah pisau oleh seorang daripada dua penjenayah ketika cuba melawan suspek yang menceroboh rumahnya.

Akibat kecederaan itu, dia menerima 30 jahitan di muka, kepala dan telinga manakala ibunya, Hat Tema Mat Zin, 58, turut parah apabila menerima nasib sama dalam kejadian tersebut.

Terdahulu, keluarga Nur Syafiqa menerima kunjungan rombongan Pergerakan Wanita UMNO Kelantan diketuai ketuanya, Datin Rahimah Muhammad bagi memberi sokongan moral kepada kedua-dua mangsa.

Nur Syafiqa dalam pada itu bersedia menimbang untuk mendapatkan rawatan di luar negara sekiranya ada mana-mana pihak yang sanggup menajanya.

Katanya, setakat ini dia belum menerima tawaran daripada mana-mana pihak yang mahu membiayai rawatan tersebut.
"Bagaimanapun, pihak Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) memberi jaminan kesihatan saya akan pulih dalam tempoh enam bulan lagi," katanya.

Sementara itu, Rahimah ketika bercakap kepada pemberita selepas itu berkata, pihaknya bersedia menaja perbelanjaan termasuk kos perubatan Nur Syafiqa ke luar negara sekiranya gadis itu terpaksa mendapatkan rawatan di sana. Credit Utusan