INCHEON: Perenang Jepun, Naoya Tomita disingkirkan dari Sukan Asia selepas mengaku mencuri sebuah kamera daripada seorang jurugambar di kolam renang Incheon, umum pasukannya, hari ini.
Tomita, 25, yang kemudian disoal siasat polis mengenai insiden itu sebelum meminta maaf, kata Jawatankuasa Olimpik Jepun (JOC) yang menambah ia "pelanggaran salah laku yang amat serius" dalam kod tatatertib badan induk itu.
"Jawatankuasa Olimpik Jepun mengakui ia pelanggaran salah laku yang serius oleh Naoya Tomita dan mengambil keputusan untuk menyingkirkannya daripada delegasi ini.
"Delegasi Jepun dimaklumkan oleh polis Incheon pada kira-kira 6:00 petang (5:00ptg waktu Malaysia) semalam yang Tomita disyaki mencuri kamera di tepi kolam renang pada Khamis lalu.
"Polis datang kepada kami untuk meminta kerjasama dalam siasatan mereka dan mereka kemudian mengiringi Tomita ke balai polis di mana dia mengaku mencuri kamera itu," kata kenyataan JOC.
Tomita menduduki tempat keempat dalam acara 100 meter (m) kuak dada pada aksi final, semalam.
Dia sebelum ini memenangi gelaran 200m kuak dada di Sukan Asia, Guangzhou empat tahun lalu dan Kejohanan Jarak Pendek Dunia pada tahun sama.
"Dia sudah meminta maaf kepada kami. Kami membuat mesyuarat tergempar daripada pegawai tertinggi delegasi dan membuat keputusan untuk menyingkirkannya.
"Ia adalah satu pelanggaran kod salah laku yang sangat serius dalam delegasi Jepun, sesuatu yang kami tidak pernah hadapinya dalam satu tempoh yang panjang," kata JOC.
Kes ini bukan kejadian pertama yang membabitkan pihak polis di temasya Sukan Asia apabila sebelum ini seorang pegawai rasmi Iran dan pemain bola sepak Palestin turut berdepan dakwaan atas serangan seksual. - AFP
0 Response to "Curi kamera Perenang Jepun, Naoya Tomita disingkirkan dari Sukan Asia "
Catat Ulasan