Putus sudah cinta Kamal Adli dan Intan


Hubungan pasangan pelakon Intan Ladyana dan Kamal Adli yang dibina sejak enam tahun lalu akhirnya bernokhtah apabila kedua-dua mereka putus cinta.

Intan atau nama sebenarnya Intan Nurladyana Mohamad Yahaya, 32, berkata, keputusan tersebut diambil atas persetujuan bersama yang dilakukan pada akhir Ramadan lalu.

"Saya dan Kamal sudah tidak lagi mempunyai sebarang hubungan istimewa. Keputusan ini sudah lama kami fikirkan, tetapi sekarang baru dapat dibuat.

"Kalau boleh jangan tanya saya punca perpisahan kami ini, biarlah ia menjadi cerita peribadi kami. Saya anggap ini semua tiada jodoh untuk kami bersama," jelasnya ketika ditemui semasa sidang akhbar Anugerah Lawak Warna di Hotel Istana di sini, pada Isnin.

Intan berkata, biarpun hubungan tersebut sudah berakhir, ia tidak menghalang untuk mereka berhubung sebagai rakan biasa.


Pelakon yang popular menerusi filem Adnan Sempit itu menjelaskan, dia tidak keberatan sekiranya digandingkan bersama-sama dalam lakonan dan akan bertindak secara profesional.

"Kalau diikutkan saya kini berasa lega setelah berterus terang mengenai hubungan kami. Selepas ini saya akan lebih fokus kepada kerjaya dalam bidang lakonan," ujarnya.

Sementara itu, Kamal, 28,  yang dihubungi mStar Online terkejut dengan kenyataan yang dikeluarkan Intan itu.

Malah aktor itu enggan memberi komen mengenai perkara tersebut dan meminta semua pihak supaya memberi ruang kepada mereka berdua.

"Saya tak mahu komen panjang. Biarkan keadaan sejuk dahulu.

"Dan berikan saya dan Intan ruang dan masa sebelum saya mengeluarkan sebarang kenyataan. Harap anda faham,” pintanya. MStarOnline


0 Response to "Putus sudah cinta Kamal Adli dan Intan "

Catat Ulasan