4 Gambar : Bersesak-sesak mandi manda di laut mati di China


Bagi kebanyakan penduduk China, kolam renang ialah satu-satunya tempat bagi mereka untuk menyejukkan diri daripada bahang matahari terutamanya pada kemuncak musim panas.
Oleh kerana faktor kekurangan kemudahan untuk aktiviti itu di China, kebanyakan kolam renang sedia ada akan sentiasa dibanjiri orang ramai bagi membolehkan mereka melarikan diri daripada bahang matahari yang dilaporkan mampu mencecah tahap 37 darjah Celsius.

Laut Mati Daying atau dikenali sebagai Laut Mati China merupakan taman tema air masin dalam bangunan yang terletak di daerah Daying di wilayah Sichuan yang menjadi antara pilihan penduduk China.

Kolam renang seluas 30,000 meter persegi itu dikatakan mampu memuatkan seramai 10,000 pengunjung pada satu-satu masa sekali gus menjadikannya pilihan utama kepada penduduk.

Malah, pusat peranginan itu turut menawarkan spa, kursus golf dan penari sorak di tebing kolam dan juga persembahan ikan lumba-lumba kepada pengunjung.



Menurut akhbar China, lebih 15,000 orang pengunjung memenuhi taman tema itu pada musim panas lalu sekali gus menjadikannya tidak tumpah ibarat tin sardin.

Bagaimanapun, ia bukanlah pertama kali bagi taman tema itu berubah menjadi tempat yang sesak dengan pengunjung kerana pada musim panas sebelum ini, ia turut dibanjiri ribuan pengunjung.

Pada sesetengah ketika, agak sukar untuk menganggap taman tema itu sebagai kolam renang kerana agak mustahil untuk bergerak ke kawasan lain di dalam taman itu tanpa melanggar seseorang.

Kolam itu dilaporkan mendapat ilham daripada Laut Mati di Asia Barat berikutan terletak pada latitud yang sama dengan Laut Mati sebenar dan airnya mengandungi 43 bahan mineral dan elemen mikro lain.

Malah, terdapat laporan yang mengatakan jika terapung selama satu jam di dalam kolam itu bersamaan mendapat tidur lapan jam.

Hal ini tidak mustahil kerana air di dalam kolam itu dilaporkan mempunyai kadar kemasinan sehingga 22 peratus membolehkan perenang terapung secara bebas di permukaan air sama seperti terapung di Laut Mati.

Bagaimanapun, menurut satu kajian, faktor ramai pengunjung di kolam itu mendedahkan mereka kepada bakteria berjangkit seperti E.coli.

Menurut laporan Kementerian Kesihatan China, daripada 5,369 kolam renang awam yang diuji di 24 wilayah di China, 10 peratus daripada kolam itu melepasi tahap selamat bagi kandungan urea yang sumbernya air kencing. UO

0 Response to "4 Gambar : Bersesak-sesak mandi manda di laut mati di China "

Catat Ulasan