Kuala Lumpur : Sudah jatuh ditimpa tangga, demikian perumpamaan yang sesuai digambarkan pada Ifa Raziah.
Penyanyi dangdut ini turut mencetuskan sensasi dan kontroversi tidak terduga saat membuat persembahan peringkat akhir menyanyikan lagu Matahari di Gegar Vaganza Ahad lalu.
Susulan aksi 'berani mati' Ifa berpelukan dan menari dalam keadaan mesra dengan aktor kelahiran Singapura, Hisyam Hamid, beliau dikecam hebat.
Malah Rosyam Nor selaku juri pertandingan berkenaan menyifatkan persembahan itu kurang sesuai untuk tatapan umum.
Ifa yang dihubungi BH Online sebentar tadi mengharapkan pengertian semua pihak kerana apa yang terjadi bukan sengaja dicipta untuk mengundang sensasi murahan.
Apa yang dilakukannya tidak lebih daripada seni persembahan dalam menghayati emosi lirik lagu dendangan Agnes Monica itu.
Ifa turut memuji persembahan Hisyam kerana biarpun hanya berlatih dalam tempoh yang singkat tetapi berjaya memberikan emosi yang terbaik pada malam itu.
"Kami hanya berbincang dan kemudian berlatih sekitar lima minit dalam bilik mekap yang sempit dan ramai orang beberapa jam sebelum konsert akhir bermula. Latihan spontan kami itu turut disaksikan suami saya dan isteri dia. Tak ada pula yang cakap ia keterlaluan ketika itu.
"Cuma saya kurang pasti kenapa Hisyam tak hadir pada sesi raptai dan ujian suara diadakan dua hari sebelum konsert akhir berlangsung.
"Itu kena tanya pihak Astro. Cuma mujur Hisyam datang memakai kot biru seperti yang dipesan kerana saya memakai gaun biru.
"Bayangkan pula saya yang menjadi peserta pertama dan diuji pula dengan kesilapan teknikal selama dua kali. Semua jadi kalut dan terkesan ditambah dengan masalah kesihatan lagi.
"Saya terangkat kaki awal sebelum lagu berakhir. Semuanya di luar kawalan saya. Hanya Tuhan saja tahu bagaimana saya rasa ketika itu," katanya sambil memberitahu persembahan di atas pentas tidak jadi seperti yang dirancang masa latihan singkat bersama Hisyam.
Bagi Ifa di sebalik kekalutan yang dilaluinya itu, setidak-tidaknya akan ada kredit atau pujian yang akan diberikan kepadanya oleh juri. Tetapi sebaliknya Rosyam selaku juri memberikan komen yang seakan mematahkan semangatnya.
"Dia (Rosyam) cakap persembahan saya tak sesuai untuk tontonan umum. Habis itu selama ini dia jadi pelakon... takkan tak pernah pegang tangan heroin dia.
"Kalau dia cakap tak sesuai, lebih baik dia jangan berlakon. Apa yang saya lakukan hanya sekadar seni lakonan.
"Apa yang saya dan Hisyam lakukan atas paksi profesional. Malah kalau nak dibandingkan ada persembahan lain di anugerah tertentu lebih daring daripada apa yang saya lakukan.
"Saya bukan nak menggatal, meraba dan bercumbu dengannya pun. Saya dan Hisyam saling menghormati kerja kami. Saya sendiri pun seorang pelakon," katanya yang hanya mendapat tempat kelima di pertandingan Gegar Vaganza itu.
0 Response to "Ifa Raziah terasa di tegur Rosyam Noor dan jawab terguran itu"
Catat Ulasan