Genap setahun peristiwa pahit dialami isteri pemain kebangsaan Norshahrul Idlan Talaha, Siti Aisya Adam dan pastinya kejadian itu tidak akan dilupakan sepanjang hidupnya.
Insiden pertelingkahan Aisya dengan pengawal keselamatan Lapangan Terbang Subang, Azman Mohd Nayan yang mendapat liputan luas media massa dihangatkan lagi dengan komen orang ramai di laman web sosial, menguji kekuatan dirinya sendiri.
Namun kejadian itu menjadikan anak jati Selangor itu semakin tabah mengharungi liku kehidupan penuh ranjau dalam membawa status sebagai isteri pemain bola sepak terkenal, Mat Yo.
Mengimbau kembali insiden itu Aisya berkata, kejadian itu menjadikan dia semakin kuat dan berpegang kepada prinsip ‘bukan senang untuk menjadi senang’.
Aisya bangkit kembali mengatur langkah demi langkah dan kehadiran cahaya mata kedua, Keisha Adelie, dua bulan lalu memberi kekuatan buat dia yang kini bergelar ahli perniagaan dan suami mencipta lebih banyak episod kebahagiaan.
“Saya pernah jatuh kerana kejadian yang bukan saya inginkan. Tapi saya tahu apa yang terjadi itu pasti ada hikmah tersembunyi. Kini setahun sudah berlalu, apa yang berlaku itu memberi pengajaran cukup berguna buat saya dan keluarga,” katanya.
Memiliki butik Nine Collection by Dian Raisha, terletak di Bandar Baru Uda, Aisya berkata, perkenalannya dengan Mat Yo bermula ketika dia bertugas sebagai pramugari Air Asia dalam penerbangan dari Singapura ke Kuala Lumpur empat tahun lalu.
Ketika itu Mat Yo menghulurkan salam perkenalan dengan memberikan nombor telefon untuk dihubungi dan perkenalan pasangan itu bermula dengan khidmat pesanan ringkas (SMS).
“Saya tidak mengenali siapa Mat Yo ketika itu. Saya cuma memerhatikan lambang harimau di bajunya. Kemudian saya menerima nota yang tertulis nombor telefon daripada Mat Yo. Selain Mat Yo ada juga beberapa lelaki pernah memberikan nombor telefon mereka.
“Tapi entah mengapa saya memilih untuk menghubungi Mat Yo atas dasar ingin berkawan biarpun saya tidak tahu siapa dia ketika itu. Mungkin itulah yang dikatakan jodoh. Perkenalan kami hanya terjalin dalam tempoh tiga bulan dan kami akhirnya memilih untuk berkahwin.
“Hubungan kami mendapat restu keluarga kedua-dua belah pihak dan pada 10 Oktober 2010 kami memilih untuk berkahwin dalam satu majlis ringkas dengan mas kahwin RM999.99 dan seutas gelang tangan,” katanya.
Kematangan dan keikhlasan ditunjukkan Mat Yo itulah yang menambat naluri kewanitaannya dan keputusan untuk menamatkan zaman dara pada usia muda direstui ibunya.
Malah ibunya sendiri memberi kata dua kepadanya andai dia tidak berkahwin pada ketika itu, Aisya perlu berkahwin dengan pilihan keluarga.
Biarpun ramai mempersoalkan tindakannya itu ketika ramai gadis seusianya mengembangkan kerjaya, Aisya berkata, ia adalah keputusan tepat dan tidak menyesal melepaskan kerjaya sebagai pramugari selepas lima bulan berkahwin.
Tidak pernah ketinggalan untuk menyaksikan Mat Yo beraksi di padang sekiranya perlawanan berlangsung di Johor Bahru atau di Kuala Lumpur, Aisya akan membawa anaknya melihat kelibat ayah mereka beraksi di atas padang.
Kehadiran bersama anak-anak pasti menyuntik semangat Mat Yo untuk cuba meledakkan gol dan memberi aksi terbaik memburu kemenangan buat pasukan.
Aisya yang cukup dikenali sebagai anak manja dalam keluarga, berkata suaminya itu sebenarnya seorang yang peramah biarpun perwatakannya dilihat agak pendiam.
Mat Yo juga seorang yang tegas terutama jika ia membabitkan hal keluarga dan anak-anak.
Kerana komitmen terhadap tugas sebagai pemain bola sepak kebangsaan dan Johor Darul Ta’zim (Johor DT), Aisya berkata, masa terluang mereka diisi dengan waktu berkualiti bersama anak-anak dan tiada istilah lagi ‘dating’ berdua.
“Kini semua perkara kami lakukan bersama. Jika saya masak, Mat Yo akan menjaga anak. Kami selalu melakukan aktiviti bersama.
“Tengok wayang pun kami bawa anak bersama. Dia sangat rapat dengan anak-anak terutama anak sulung kami, Dian Raisha.
“Jika ada latihan di sebelah petang, Mat Yo tetap akan membawa Dian keluar pada sebelah pagi dan menjalankan aktiviti bersama seperti menonton wayang dan sebagainya,” katanya.
Mat Yo adalah nadi kejayaannya dan segala masalah dikongsi bersama.
Perniagaan butiknya juga turut mendapat sokongan suami malah kini mereka merancang untuk membuka kedai dobi yang diberi nama Laundry by Keisha Adelia, mengambil nama anak kedua mereka.
Ditanya sama ada kemungkinan Mat Yo beralih untuk bersama kelab lain, Aisya berkata, semua keputusan di tangan suaminya dan sebagai isteri, dia akan sentiasa memberi sokongan.
“Apa saja keputusan dibuat pastinya adalah yang terbaik buat dirinya dan keluarga,” kata Aisya. HM
0 Response to "Kisah Cinta : Mat Yo dan Aisya, dua cahaya mata pengikat kasih sayang "
Catat Ulasan