Berita Sedih : Harga Petrol RON95, Diesel Naik 20 Sen naik mulai 02.10.2014

Harga runcit RON 95 yang baharu naik daripada RM2.10 kepada RM2.30, manakala diesel daripada RM2 kepada RM2.20, berkuatkuasa 12.01 tengah malam Khamis.

Harga baharu itu berikutan pengurangan subsidi bagi petrol RON 95 dan diesel dikurangkan sebanyak 20 sen. Pada masa ini, harga pasaran bagi petrol RON95 ialah RM2.58 seliter, sementara harga diesel ialah, RM2.52 seliter.
Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dalam  kenyataan pada Rabu berkata, walaupun kadar subsidi dikurangkan, kerajaan masih perlu membelanjakan lebih daripada RM21 bilion untuk subsidi petrol, diesel dan LPG bagi tahun 2014.

Menurut kenyataan itu, langkah tersebut dilaksanakan selaras dengan dasar rasionalisasi subsidi kerajaan bagi memastikan kedudukan kewangan negara terus kukuh.

"Kerajaan juga dijangka dapat mengurangkan ketirisan dan aktiviti penyeludupan yang dilakukan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab. 

"Pemberian subsidi perlu sampai kepada golongan sasar dan tidak secara pukal. Ini kerana pelancong asing turut menikmati subsidi yang diberikan kerajaan," katanya. 

KPDNKK berkata, langkah penjimatan daripada subsidi petrol dan diesel tersebut dapat menghasilkan penjimatan yang setimpal dan ia boleh digunakan untuk pembangunan bidang pendidikan, kesihatan, sistem pengangkutan awam yang lebih cekap serta meningkatkan tahap keselamatan negara.

Biarpun demikian, kerajaan sedar bahawa langkah rasionalisasi subsidi ini akan memberi kesan kepada ekonomi dan masyarakat.

"Kerajaan akan terus menyediakan pelbagai bantuan dan insentif untuk meringankan beban, terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

"Antara langkah yang akan diambil kerajaan ialah menaikkan kadar pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang akan diumumkan dalam Bajet 2015 kelak," menurut kenyataan tersebut.  

0 Response to "Berita Sedih : Harga Petrol RON95, Diesel Naik 20 Sen naik mulai 02.10.2014 "

Catat Ulasan