CEO Total maut jet peribadinya rempuh jentera penyodok salji

Moscow : Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat minyak Perancis, Total SA (Total), Christophe de Margerie, 63, terbunuh dalam satu nahas pesawat apabila jet peribadinya merempuh sebuah jentera penyodok salji semasa berlepas di Lapangan Terbang Vnukovo di ibu kota Rusia di sini kelmarin.
Total yang merupakan syarikat minyak ketiga terbesar di Eropah mengesahkan kematian CEO berusia 63 tahun tersebut.
“Kami dengan sedih mengumumkan CEO syarikat ini, Christophe de Margerie terbunuh kira-kira pukul 10 malam (waktu Paris) dalam nahas pesawat di Lapangan Terbang Vnukovo kelmarin selepas pesawatnya bertembung dengan jentera penyodok salji.
“Empat orang ditemui mati di tempat kejadian termasuk tiga anak kapal,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan semalam.
Menurut kenyataan sama, syarikat Total akan memanggil semua ahli lembaga pengarahnya untuk menghadiri satu mesyuarat tergempar susulan kematian de Margerie.
Beberapa jam sebelum insiden itu, de Margerie menemui Perdana Menteri Rusia, Dmitry Medvedev di kediaman rasmi beliau di luar bandar raya ini untuk membincangkan pelaburan asing di Rusia, lapor akhbar Vedomosti.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang jurucakap Lapangan Terbang Vnukovo berkata, ketika kejadian, jet peribadi jenis Falcon Dassault yang dinaiki de Margerie dijangka berlepas ke Paris.
Menurut pihak berkuasa lapangan terbang, jarak penglihatan pada hari kejadian pula cuma sekitar 350 meter.
Nahas itu masih disiasat oleh Jawatankuasa Penerbangan Rentas Negeri yang bertanggungjawab menyiasat semua nahas udara di Rusia.
Beberapa penyiasat jawatankuasa itu berkata, pemandu mesin penyodok salji itu berada dalam keadaan mabuk ketika kejadian berlaku.
“Namun, faktor cuaca buruk dan kesilapan juruterbang juga akan disiasat,” kata mereka.
De Margerie menjadi CEO Total sejak tahun 2007. Namun, beliau yang dikenali sebagai ‘Misai Besar’ telah berkhidmat dengan Total selama 40 tahun.
Mendiang meninggalkan seorang isteri dan tiga orang anak. – Agensi

0 Response to "CEO Total maut jet peribadinya rempuh jentera penyodok salji "

Catat Ulasan