Rintihan sedih seorang ibu : Aku mahu anakku Konstabel Zakia pulang

Tuaran : “Aku mahu anakku pulang, lama sudah dia di sana…dia pun sudah rindu sama mak,” demikian luahan ibu kepada anggota polis marin, Konstabel Zakia Aliep, yang diculik sekumpulan penceroboh di sebuah pusat peranginan di Pulau Mabul, Semporna sejak 12 Julai lepas.

Juna Gumbur, 54, hanya meluahkan kata-kata itu ketika ditemui pemberita selepas lawatan Pengarah Jabatan Keselamatan Negeri Ketenteraman Awam Bukit Aman, Senior DCP Datuk Muhammad Fuad Abu Zarim diiringi Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman dan Komander Pasukan Polis Marin Datuk Abd Aziz Yusoff.

Dalam nada sendu sambil menitiskan air mata, beliau berkata harapannya hanya mahu melihat anak ketiga daripada enam beradik itu dikembalikan kepada pangkuan keluarga dalam masa terdekat.

Bapa mangsa, Aliep Sadu, 53, berkata beliau dapat merasai penderitaan yang dialami Zakia, 27, yang sentiasa bersuara sayu setiap kali menghubunginya selepas diculik tiga bulan lepas.

“Saya memang pernah terima panggilan daripada Zakia…suaranya sayu dan jadi apa-apa pun kita ikut prosedur mereka (polis). Anggota keluarga tiada apa-apa lagi selain berharap pembebasan Zakia cepat-cepat ditebus segera…itu sajalah harapan kami,” katanya.

Aleip yang mewakili keluarganya turut merakamkan ucapan terima kasih atas lawatan dan sumbangan pihak polis selain mempercayai kemampuan pihak berkuasa untuk menangani isu keselamatan dan pembebasan anaknya.

Sementara itu, isteri Zakia, Sharifah Erna Berson, 22, berkata Zakia hanya meminta mahu dibebaskan segera setiap kali menghubunginya dan perbualan dengan suami berlangsung dalam nada sedih apatah lagi apabila berkisar soal anak.

“Dia memang selalu bertanya pasal anak, kalau dengar suara anak menangis, dia juga akan menangis.

“Perbualan kami hanya beberapa minit sahaja, setiap kali menerima panggilan telefon. Saya sudah tidak ingat bila panggilan terakhir daripadanya pada minggu lepas kerana banyak sangat dalam fikiran…perbualan hanya bertanya khabar dan mengenai rundingan.

“Saya hanya harap suami pulang dengan selamat,” katanya.Mengenai lawatan itu, katanya, beliau dimaklumkan pihak berkuasa sedang berusaha untuk membebaskan Zakia secepat mungkin.

Insiden serang hendap sekumpulan lelaki bersenjata di Mabul Water Bungalow Resort, Pulau Mabul di Semporna, itu turut mengorbankan anggota Pasukan Polis Marin Koperal Ab Rajah Jamuan, 32, lapor Bernama.

0 Response to "Rintihan sedih seorang ibu : Aku mahu anakku Konstabel Zakia pulang"

Catat Ulasan