Penumpang penerbangan terima bil internet RM4,016

Singapura : Seorang ahli perniagaan warga Kanada terkejut apabila mendapati dia dikenakan bayaran penggunaan wi-fi hampir mencecah AS$1,200 (RM4,016) sewaktu menaiki pesawat milik syarikat penerbangan Singapura.
Lelaki tersebut, Jeremy Gutsche (gambar kecil) yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Trend Hunter berkata, bayaran yang dikenakan oleh penerbangan Singapore Airlines itu amat keterlaluan terutama kepada penumpang yang memerlukan talian internet untuk menyelesaikan tugasan atau menghabiskan masa dalam perjalanan jauh.
“Saya melihat 155 halaman daripada e-mel selain memuat naik dokumen melalui internet. Seharusnya tiada bayaran tambahan dikenakan kerana saya telah membeli pakej berharga AS$30 (RM100),” katanya.

Beliau mendakwa sistem wi-fi di pesawat itu juga lembab kerana dia terpaksa mengambil masa hampir sejam memuat naik dokumen PowerPoint yang bersaiz empat megabait dan tidak mungkin boleh melihat sebarang video.
Berdasarkan laman web syarikat penerbangan Singapore Airlines, syarikat itu menawarkan kemudahan perkhidmatan wi-fi dengan harga pakej yang berbeza bagi pesawat Airbus A380 dan Boeing 777-300ER.
Sebelum penumpang disambungkan dengan talian internet, mereka perlu memilih pakej data OnAir atau Panasonic dan pihak syarikat turut menawarkan harga yang berbeza berdasarkan tahap kelajuan 10 megabait bersamaan AS$10 (RM34) atau AS$12 (RM39) sejam.
Penggunaan data akan diberhentikan secara automatik sekiranya penum­pang telah mencapai had yang ditetapkan atau terus mengakses internet dengan caj tambahan.
Pihak pengurusan penerbangan Singapura dalam laman Twitter enggan menjelaskan lanjut mengenai perkara tersebut sebaliknya memberitahu akan berhubung terus dengan Gutsche – Agensi

0 Response to "Penumpang penerbangan terima bil internet RM4,016"

Catat Ulasan