Dungun : Seorang lelaki dan anak saudaranya diselamatkan setelah
hampir 18 jam berlindung atas sebatang pokok berhampiran persimpangan
Bukit Besi di sini selepas bot gentian kaca yang mereka naiki terbalik
petang semalam.
Mohd Nazir Mamat, 33, dan Mohd Zafirul Izhan, 19, diselamatkan oleh
pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat dalam keadaan memeluk dahan pokok
itu dan kesejukan kira-kira 12 tengah hari tadi.
Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al Muktaffi Billah
Shah (AMBS) Imran Ismail berkata, ketika kejadian kira-kira 6 petang
itu, kedua-dua mangsa dalam perjalanan untuk mengambil anggota keluarga
mereka di Kampung Padang Ping yang dilanda banjir.
“Bot gentian kaca yang dinaiki mereka terbalik sebelum
dihanyutkan arus deras sebelum mereka sempat menyelamatkan diri dengan
mencapai dahan pokok dan berlindung di atasnya,” katanya ketika
dihubungi Bernama.
Katanya, pihak bomba sebelum itu menerima panggilan daripada seorang
lelaki bernama Shahari Din yang memaklumkan ternampak kedua-dua mangsa
di atas pokok.
“Sebaik menerima panggilan, kira-kira jam 11 pagi tadi, 12
anggota bomba dengan kerjasama anggota polis dan Tenaga Nasional Berhad
melancarkan gerakan mencari dan menyelamat mereka.
“Pasukan menyelamat berjaya menemui mangsa yang keletihan
dengan berpeluk pada sebatang pokok dalam kesejukan,” katanya dan
menurutnya kedua-dua mereka dibawa ke Kampung Dendang dan tidak
mengalami sebarang kecederaan.
Sementara itu, Shahari, 46, berkata ketika melalui lebuh raya itu
pada kira-kira 10.30 pagi tadi, dia terdengar suara lelaki meminta
tolong.
Katanya terkejut dengan suara berkenaan dia berhenti dan keluar dari
kenderaannya dan melihat dua mangsa berada di atas sebatang pokok dan
melambai ke arahnya dan terus memaklumkan perkara itu kepada pihak
bomba.
“Ketika itu saya dalam perjalanan ke rumah emak mentua saya di
Kampung Padang Ping untuk membantu memindahkan ibu mentuanya,” katanya
kepada Bernama.
0 Response to "10 Gambar : Saat Bomba selamatkan dua beranak 18jam atas pokok akibat banjir"
Catat Ulasan