Sayu : Bayi lemas terlepas dukungan ibu semasa redah banjir



Kuala Krai: “Arus yang sangat deras meranapkan bumbung rumah tempat kami berlindung sekali gus menghanyutkan kami.

“Ketika itulah bayi saya terlepas dukungan,” kata Suhana Muhamad Abdul Ghani, 34, ibu malang yang kehilangan bayi berusia 20 bulan dipercayai lemas akibat banjir.

Dalam kejadian jam 5 petang kelmarin, Nor Adriana Adila Asrol Afendi berada dalam dukungan Suhana ketika dia bersama lima anaknya dan ibu bapanya mahu menyelamatkan diri selepas rumahnya di Kampung Kuala Bertam, di sini, dinaiki air.

Katanya, ketika menyedari air naik hampir tiga meter, mereka sekeluarga mengambil keputusan memanjat bumbung rumah dan berlindung di situ sehingga menunggu bantuan tiba.

Bagaimanapun, kejadian malang berlaku apabila arus deras meranapkan rumah keluarga berkenaan dan turut menghanyutkan mereka.
Asrol Afendi dan iserinya sebak mengenangkan nasib Nor Adriana 
“Suami tiada di rumah ketika itu kerana bekerja, malah kami pun tidak sempat ke tempat lain dan hanya memikirkan bumbung rumah kerana air naik dengan cepat.

“Dalam keadaan hanyut dibawa arus deras itu, anak bongsu dalam dukungan terlepas. Saya diselamatkan ibu yang menarik tangan saya untuk berpaut pada dahan pokok rambutan.

“Lima anak yang lain juga berpaut pada dahan sama sebelum kami diselamatkan penduduk kampung lapan jam kemudian,” katanya ketika ditemui di rumah saudaranya di Batu Jong, di sini, semalam.

Menurut Suhana, akibat kejadian itu, anak ketiganya Nor Erini Nazirah, 9, patah tangan kanan akibat tersepit pada dahan pokok.

Katanya, anak sulungnya Ayuni Natasha, 16, menghubungi suaminya, Asrol Afendi Yusof, 40, bagi memaklumkan kejadian itu.

“Mujur telefon bimbitnya masih boleh digunakan. Suami menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan,” katanya yang masih sedih mengenang nasib anak bongsunya.

Sementara itu, Asrol Afendi berkata, usaha mencari dan menyelamatkan Nor Adriana Adila diteruskan pihak berkuasa.

0 Response to "Sayu : Bayi lemas terlepas dukungan ibu semasa redah banjir "

Catat Ulasan