Kuala Lumpur : Laman web rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dilaporkan telah diceroboh pihak yang tidak bertanggungjawab menyebabkan laman web persatuan itu ditutup buat sementara waktu.
Pihak FAM, seperti dilaporkan melalui status pada laman Facebooknya mengatakan pihaknya masih dalam proses menyelesaikan isu tersebut bagi membolehkan laman web tersebut dapat dilayari seperti biasa.
Dalam pada itu, FAM memohon maaf kepada warga Vietnam di atas isu yang telah berlaku semasa perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2014, di mana Malaysia melawan Vietnam di Stadium Shah Alam, Selangor pada Ahad.
Ketika perlawanan tersebut, segelintir penyokong Malaysia telah bertindak ganas dengan menyerang penyokong pasukan Vietnam sehingga mengakibatkan berlaku sedikit kecederaan.
Bagaimanapun, insiden berkenaan berjaya ditangani oleh pihak berkuasa yang bertugas pada malam tersebut.
Berdasarkan pemerhatian The Rakyat Post terhadap status FAM di Facebook, ada beberapa komen dilihat datang daripada rakyat Vietnam, yang merujuk kepada insiden terbabit dengan lebih kepada mengajak peminat bola sepak Malaysia untuk mengamalkan ‘fair play’ ketika separuh akhir kedua di Vietnam nanti.
Antaranya daripada pengguna dengan nama ‘Khương Minh Hải’ yang mengatakan Stadium My Dinh mengalu-alukan kedatangan pasukan Malaysia, dan Vietnam merupakan negara yang selamat dan menjamin tidak akan berlaku keganasan.
Manakala pengguna dengan nama ‘Tien Nguyen’ berkata, pandangan berkenaan negara Malaysia sebagai negara yang bertamadun telah berubah disebabkan insiden tersebut.
Seorang lagi pengguna dengan nama ‘Khánh Nhân’ dipetik berkata, dia tidak merasakan sikap rakyat Malaysia bukan seperti yang dipamerkan pada malam itu sebaliknya dia turut bekerjasama untuk mencari dalang yang terlibat dengan insiden terbabit.
Sementara itu, pihak FAM dalam kenyataan sama berkata akan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menangani perkara tersebut dan turut mengutuk sekeras-kerasnya keganasan dalam bola sepak. ‘LOVE FOOTBALL AND STOP HOOLIGANISM‘.
Sehingga artikel ini ditulis, laman web tersebut masih belum dapat dilayari seperti biasa.
0 Response to "Siapa ceroboh dan godam laman web FAM ?"
Catat Ulasan