Ah long mula bantu rakyat Kelantan ?

Beberapa pihak membuat aduan mengenai kewujudan peminjam wang tidak berlesen atau ah long yang menawarkan pinjaman kepada mangsa-mangsa banjir.

Penerbit Sinar Harian, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, kegusaran itu timbul, setelah mendapati majoriti rakyat Kelantan terjejas dengan bencana yang menimpa negeri itu.

“Saya dapat laporan ah long sudah pergi ke Kelantan dan tawarkan bantuan pinjaman kepada mereka (mangsa banjir). Jika mereka pergi pada ah long, kita tahulah apa nasib mereka selepas ini.

“Ramai rakyat Kelantan terkesan dengan bencana yang menimpa negeri itu. Bukan sahaja peniaga yang buka perniagaan secara kecil-kecilan, malah peniaga besar turut menerima kesannya, mereka ini susah, jadi kita yang harus bantu mereka, bukan ah long,” katanya dipetik Sinar Harian dalam satu sidang media khas, pada Jumaat.

Sementara itu, Hussamuddin melalui Twitternya menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan untuk memantau aktiviti haram itu dan membantu memulihkan ekonomi rakyat Kelantan dengan segera.

“Ah long sudah mula bergerak tawar pinjaman mudah kepada mangsa banjir di Pantai Timur. Halang ini segera. Pihak Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga kena bantu cepat,” katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan saranan supaya kerajaan antara PAS Kelantan dan UMNO Kelantan bergabung membina semula negeri yang seakan-akan menjadi ‘ground zero’, setelah dilanda banjir paling dahsyat kali ini.

Kata Hussamuddin, inilah masanya untuk mereka membuktikan keikhlasan, bahawa perjuangan mereka berpaksikan rakyat, bukan kepentingan diri.

“Inilah masanya untuk mereka menunjukkan kesanggupan untuk berkorban demi rakyat,” katanya. Credit Suara TV

1 Response to "Ah long mula bantu rakyat Kelantan ?"