Wajah penganjur Program Pegang Anjing, Jakim siasat penganjuran

Kuala Terengganu :  Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menjalankan siasatan terperinci berhubung penganjuran acara 'I Want To Touch A Dog' (Saya Mahu Sentuh Anjing) yang berlangsung di Central Park, One Utama dekat Petaling Jaya, petang semalam.
    
Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha berkata program itu tidak sepatutnya berlaku dan pihaknya kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab pihak penganjur yang tidak prihatin dengan sensitiviti umat Islam di negara ini.
    
Katanya, Islam di Malaysia yang berpegang teguh kepada Mazhab Syafie sudah jelas memperincikan bahawa anjing dan babi itu tergolong dalam najis mughallazah (berat).
    
"Acara itu tidak pernah dianjurkan sebelum ini dan ia merupakan kali pertama didedahkan kepada masyarakat, kita orang Islam dan agama sudah menetapkan dengan jelas hukum berkaitan anjing.
    
"Jakim akan segera menyiasat perkara ini dan sebarang tindakan akan dirujuk pada peruntukan-peruntukan yang ada," katanya kepada pemberita mengulas penganjuran program itu yang mendapat sambutan luar biasa daripada kalangan umat Islam di sekitar ibu kota, semalam.

Othman ditemui media selepas merasmikan Multaqa Pengetua Sekolah Agama peringkat kebangsaan di sini, malam tadi.

Beliau turut menasihatkan umat Islam agar melihat semula dan mendapatkan pandangan ulama mahupun ustaz sama ada apa yang dilakukan mereka dengan menyentuh, memeluk dan mendukung anjing itu betul dari segi agama dan selaras dengan tuntutan Islam.
    
Penganjuran program 'Saya Mahu Sentuh Anjing' oleh Syed Azmi Alhabshi yang bertujuan membantu orang ramai terutama masyarakat Islam untuk mengatasi rasa takut mereka terhadap anjing.
    
Program selama dua jam bermula 8 pagi hingga 10 pagi itu dibanjiri ratusan umat Islam bagi memberi peluang kepada mereka untuk menyentuh anjing sambil diperhatikan oleh pemilik haiwan.
    
Sementara itu, ketika ditanya tentang kehadiran seorang ustaz di samping dua individu lain dalam forum mini bagi menjawab pertanyaan dan kemusyiklan berkaitan anjing dalam acara tersebut, Othman berkata pihaknya akan turut menyiasat kelayakan agama lelaki berkenaan.
    
"Buat masa ini, kita tidak dapat maklumat lengkap sama ada betul atau tidak individu itu ustaz, sekarang ini siapa-siapa yang pakai songkok (berpenampilan alim) pun sudah boleh jadi ustaz," katanya. - Bernama



Setelah diselidik, Program ini mendapat kelulusan dari Majlis Agama Islam Selangor. Perkara ini juga disahkan oleh salah seorang pengunjung yang hadir di program berkenaan



Apakah penganjuran kempen yang dikatakan membantu orang ramai terutamanya umat Islam untuk mengatasi persepsi negatif terhadap anjing itu adalah dengan mewujudkan amalan menjadikan haiwan tersebut sebagai haiwan peliharaan seperti kucing?

Persoalan inilah yang dikemukan oleh Mufti Selangor,Datuk Tamyes Abdul Wahid yang nyata kecewa dengan penganjuran program tersebut.

Katanya lagi penganjuran seperti itu membawa mesej menjurus kepada fahaman liberalisme atau sengaja ingin mencetuskan polemik dalam kalangan rakyat di negara ini dan ianya perlu ditolak.

Umat Islam harus memahami walaupun anjing juga adalah makhluk Allah tetapi bezanya anjing dan babi adalah mereka terdiri dari kumpulan haiwan yang boleh menyebabkan najis berat (mughalazah).

Apakah tujuan penganjuran ini untuk membawa satu budaya baru yang mahu umat Islam memegang anjing dan seterusnya timbul minat untuk memeliharanya pula seperti haiwan peliharaan lain seperti kucing ?

Aidit Ghazali seorang ilmuan fiqh berkata penganjuran kempen ini merupakan strategi halus gerakan untuk mempromosikan fahaman liberal dalam pemikiran kalangan umat Islam di negara ini. Katanya lagi hasrat untuk membuang stigma memegang anjing adalah kempen yang bodoh dan ada banyak lagi kempen yang bagus seperti kempen mendekati masjid dan hukum Islam.

Sementara itu exco pemuda Umno Malaysia, Ustaz Fathul Bari berkata di dalam twitternya umat “Islam sokong kempen ‘ihsan’ ke atas haiwan, termasuk anjing. Cuma kempen ‘touch (a) dog’ (sentuh anjing) adalah sangat janggal”. - MutiaraPost.com

0 Response to "Wajah penganjur Program Pegang Anjing, Jakim siasat penganjuran"

Catat Ulasan