Liga Super : Kelantan perlu bangkit selepas tewas tiga kali - Azman Ibrahim

KOTA BHARU : Kelantan perlu bangkit pada perlawanan menentang Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah, Kuala Terengganu, esok, setelah tewas tiga perlawanan berturut-turut sebelum ini, kata pengurus pasukan, Azman Ibrahim.
"Kami perlu dapatkan kembali momentum selepas tewas tiga kali berturut-turut, kami tidak mahu kekalahan yang berterusan ini menjejaskan keyakinan pemain,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
The Red Warriors (TRW) tewas 3-2 kepada kelab Vietnam, XM Vissai Ninh Binh (VNB) pada 18 Mac bagi perlawanan Kumpulan G Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), kemudian bagi Liga Super pasukan itu tewas 1-0 kepada Selangor pada 22 Mac dan yang terakhir tewas 2-1 kepada Johor Darul Ta’zim (JohorDT) di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu pada Selasa lepas.
Beliau berkata, pihaknya akan mempertaruhkan dua muka baharu iaitu Brendan Gan dan Fitri Omar setelah kehilangan dua tonggak utama iaitu Ahmad Fakri Saarani dan Ahmad Shakir Ali.
"Ahmad Fakri Saarani digantung satu perlawanan kerana menerima kad kuning ketiga manakala Shakir terpaksa diketepikan setelah mengalami kecederaan ketika menentang JohorDT pada Selasa lalu," katanya. - Bernama

0 Response to "Liga Super : Kelantan perlu bangkit selepas tewas tiga kali - Azman Ibrahim"

Catat Ulasan