Kuantan : Wanita berperangai gengster yang ditahan polis kerana mengamuk dan bertindak ganas ke atas seorang pesara kerajaan setelah keretanya dilanggar baru-baru ini telah dibebaskan dengan jaminan polis lewat malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, wanita itu dibebaskan setelah polis berpuas hati dengan kenyataan yang diberikan dan perkembangan siasatan.
"Pihak polis kini sedang mengumpul keterangan daripada saksi termasuk dalam kalangan polis dan orang awam," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Wanita tersebut, Siti Fairrah Asyikin Kamaruddin, 30 hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di sini bersama ibu, ayah dan anggota keluarganya pada pukul 4 petang kelmarin untuk memberi keterangan berhubung kes tersebut sebelum ditahan untuk membantu siasatan.
Siti Fairrah yang lebih dikenali dengan nama Kiki di laman sosial menjadi fenomena di internet selepas perlakuan ganas dan ekstremnya terhadap seorang pesara, Sim Siak Hong, 68 dimuat naik ke media sosial.
Wanita tersebut naik angin apabila kereta Peugeot 208 miliknya dilanggar Siak Hong yang memandu Toyota Corolla sebelum bertindak memaki dan merampas pengunci stereng milik pesara berkenaan yang digunakan untuk memukul bahagian depan, cermin dan bumbung Toyota tersebut.
Menurut Abdul Aziz, wanita itu masih disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan 506 Kanun Keseksaan.
"Sebarang perubahan seksyen berikutan tindakan wanita itu yang telah membuang pengunci stereng berkenaan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya," katanya.
0 Response to "Kiki Kamaruddin akhirnya dibebaskan "
Catat Ulasan