BRASILIA: Brazil sekali lagi di ambang untuk dimalukan buat kali kedua selepas ketinggalan 0-2 kepada Belanda berakhir babak pertama aksi penentuan tempat ketiga di Stadium Nacional, sebentar tadi.
Kelemahan pertahanan terus menjadi duri dalam daging buat tuan rumah itu dengan kedua-dua gol terhasil menerusi kesilapan pertahanan, David Luiz dan kapten, Thiago Silva.
Gol pertama Belanda terhasil selepas Arjen Robben dijatuhkan Silva di dalam kotak penalti dengan sepakan penalti mudah disempurnakan Robin van Persie seawal minit kedua perlawanan.
Ramirez dan Jo hampir menyamakan kedudukan tiga minit selepas gol pertama Belanda selepas memperoleh hantaran cantik di depan gawang lawan namun gagal mencapainya.
Dan sekalipun permainan Brazil bertambah pantas, gawang mereka sekali lagi bocor pada minit ke-17 menerusi jaringan Daley Blind kali ini menerusi kelemahan Luiz yang gagal menanduk kemas ketika mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.
Tuan rumah sekali lagi hampir memecah kebuntuan gol pada minit ke-37 namun David Luiz dan Paulinho gagal menyudahkan hantaran menerusi sepakan percuma Oscar.
Di separuh akhir, Brazil malu besar selepas tewas 7-1 kepada Jerman manakala Belanda tumpas kepada Argentina menerusi penentuan penalti. - Agensi
0 Response to "Van Persie dan Daley Blind bantu Belanda dahului Brazil 2-0 "
Catat Ulasan