Gajah mati kaki tersepit celah dahan pokok cempedak

Kota Tinggi : Seekor gajah dewasa ditemui mati apabila kaki kanannya tersepit di celah dahan pokok cempedak selepas dipercayai cuba 'memanjat' untuk menikmati buah berkenaan di Felcra Dusun Panti, dekat sini Khamis lalu.

Gajah malang yang 'kempunan' itu ditemukan seorang pekerja dusun tersebut, Bajuri Taib yang turut terkejut kerana pada mulanya menyangka gajah itu berbaring di pangkal pokok cempedak berkenaan.

Menurut rakannya, Mohd. Nasir Hashim, 57, haiwan berkenaan dipercayai mati akibat kaki kanan hadapannya tersepit di celah dahan pokok itu.

"Melihat kesan di kawasan berkenaan, saya percaya semalaman gajah itu cuba melepaskan diri, namun gagal dan mati di situ," katanya di sini hari ini.

Dia yang telah menjadi peneroka di tanah rancangan Felcra berkenaan sejak 1976 mengakui kawasan itu memang mempunyai banyak gajah tetapi tidak pernah berlaku kejadian sedemikian.

"Biasanya kumpulan gajah liar bergerak antara tujuh hingga sembilan ekor mencari makanan di kawasan hutan berhampiran dusun durian dan cempedak di sini," katanya sambil memberitahu kira-kira lima tahun lalu pernah berlaku gajah mati kerana terminum racun di kawasan kebun sayur berhampiran.

Mohd. Nasir memberitahu, kejadian tersebut telah dilaporkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri dan bangkai gajah itu telah ditanam di kebun berkenaan. Utusan 

0 Response to "Gajah mati kaki tersepit celah dahan pokok cempedak"

Catat Ulasan