MH370 : Hidup diteruskan bagi keluarga kami - Maira Elizabeth Nari

Kuala Lumpur : "Hidup diteruskan bagi keluarga kami. Kami menanganinya dengan baik, di sebalik ketidaktentuan ini,", kata Maira Elizabeth Nari.

Maira, 18, anak perempuan ketua pramugara Andrew Nari yang bertugas di dalam Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370 yang hilang pada 8 Mac di selatan Lautan Hindi, berkata keluarganya sentiasa menyibukkan diri dengan pelbagai aktiviti agar tidak terlalu memikirkan tentang tragedi itu.

"Hidup ini ada naik turunnya. Saya memang tidak memikirkan tentang bapa sebab saya tidak mahu menunjukkan kesedihan saya kepada ibu dan adik lelaki (Malcolm) saya.

"Dalam tempoh ini, saya mendekatkan diri kepada Tuhan untuk mendapat ketenangan. Sekarang, saya sibuk membuat persiapan bagi peperiksaan akhir semester pertama saya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Aidilfitri Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di sini hari ini.

Majlis itu dihadiri Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman.

Ditanya apakah yang diperkatakan Muhyiddin kepada beliau dan keluarganya, Maira, yang sedang mengikuti pengajian dalam kursus diploma komunikasi massa di Segi College di Subang Jaya, berkata timbalan perdana menteri menggalakkan Malcolm, 13, supaya belajar rajin-rajin dan memburu cita-citanya untuk menjadi juruterbang. Bernama

0 Response to "MH370 : Hidup diteruskan bagi keluarga kami - Maira Elizabeth Nari"

Catat Ulasan