Video Klik Sini |
Skuad Harimau Malaya kendalian Dollah Salleh nyata bukan tandingan Tajikistan selepas kalah 1-4 pada aksi persahabatan antarabangsa yang berlangsung di Stadium Central, Dushanbe, Tajikistan, malam tadi.
Majibur muncul wira pasukan yang berada pada ranking ke-124 dunia itu selepas meledak empat jaringan, masing-masing pada minit ke-15, 35', 51' dan 53'.
Penyerang pasukan Johor Darul Ta'zim, Mohd Amri Yahyah menjaringkan gol tunggal untuk skuad kebangsaan menerusi sepakan penalti pada penghujung separuh masa pertama perlawanan.
Ia adalah tugasan antarabangsa pertama Dollah sejak dilantik pengendali baharu skuad Harimau Malaya oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 9 Julai lepas.
Beliau menggantikan Datuk K. Rajagobal yang tidak disambung kontrak oleh FAM selepas gagal membawa Malaysia meraih slot ke pusingan akhir Kejohanan Bola Sepak Piala Asia 2015 di Australia.
Malaysia dijangka menentang Jordan pada aksi persahabatan seterusnya, 11 Oktober ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Perlawanan persahabatan itu antara persiapan skuad Harimau Malaya dalam menghadapi Kejohanan Bola Sepak Piala AFF Suzuki 2014 yang dijadual berlangsung di Singapura dan Vietnam dari 22 Nov hingga 20 Disember ini.
Skuad Harimau Malaya berdepan laluan sukar pada kejohanan bola sepak membabitkan negara rantau Asia Tenggara itu selepas diundi dalam Kumpulan B bersama juara bertahan Singapura, juara tiga kali Thailand dan pemenang pusingan kelayakan.
Pusingan kelayakan Piala AFF Suzuki akan berlangsung di Laos dari 12 hingga 20 Oktober ini membabitkan empat negara iaitu Myanmar, Brunei, Timor Leste dan Kemboja bagi merebut dua slot terakhir kejohanan.Bernama
0 Response to "Video : Harimau Malaya dibelasah 1- 4 pada Tajikistan"
Catat Ulasan