Pingat Perak acara Keirin milik Azizulhasni di batalkan

INCHEON : Jaguh berbasikal negara, Josiah Ng tidak merasai suasana gembira dengan pingat gangsa dalam acara keirin individu lelaki selepas keputusan kontroversi menafikan posisi tempat kedua rakan senegara Azizulhasni Awang pada temasya Sukan Asia ke-17 di sini hari ini.

Josiah, yang menamatkan perlumbaan di tangga keempat, dihadiahkan pingat gangsa selepas kedudukan Azizulhasni dibatalkan oleh komisar kerana menghalang pelumba lain ketika melakukan pecutan.

Pelumba Jepun, Kazunari Watanabe, yang sebelum itu menduduki tangga ketiga, memenangi pingat perak manakala pelumba Iran, Mohammad Daneshvarkhourram merangkul pingat emas.

“Apabila mereka mengumumkan, ia mencetus emosi sama seperti di Sukan Komanwel di New Delhi. Saya agak marah tetapi dalam sukan, kami terpaksa
menerimanya.

“Emosi saya bercampur baur kerana kami begitu akrab. Sesiapa sahaja dalam keadaan saya mungkin gembira dengan pingat ini tetapi bagi diri saya, Azizul adalah seperti adik saya.

“Saya tidak begitu gembira seperti yang sepatutnya. Tetapi kami perlu sedar bahawa in adalah sukan dan perkara seperti ini berlaku. Sekiranya keputusan disemak semula, sayalah orang yang gembira untuk dia,” katanya. BERNAMA

0 Response to "Pingat Perak acara Keirin milik Azizulhasni di batalkan "

Catat Ulasan