Punca sebenar Calon UPSR meninggal dunia, bukan akibat tekanan

Kuantan : Jabatan Pendidikan Pahang hari ini menafikan seorang calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 dari sebuah sekolah di sini meninggal dunia kerana tertekan ekoran kebocoran beberapa kertas peperiksaan itu baru-baru ini.
    
Pengarah Pendidikan Negeri, Rosdi Ismail berkata, dakwaan yang mengatakan murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Wira meninggal dunia akibat tekanan perasaan pada Selasa lepas, seperti yang tersebar dalam laman sosial adalah tidak berasas.

"Tiada kaitan dengan peperiksaan, saya sendiri telah menemui ibu bapa murid berkenaan dan mereka menafikan dakwaan seperti yang tersebar di laman sosial Facebook mengatakan murid berkenaan meninggal dunia disebabkan 'stress'," katanya.
    
Malah mengikut laporan perubatan sendiri menyatakan murid berkenaan meninggal dunia disebabkan kandungan gula yang tinggi dalam  darah secara mendadak walaupun murid itu tidak mengidap penyakit kencing manis, "katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
    
Gambar murid berkenaan tersebar di laman Facebook dengan kandungan kenyataan: " ... murid tahun enam SK Wira telah meninggal dunia pagi tadi. Jenazah dibawa balik ke Chini, tekanan darah tinggi dan stres tahap melampau. Murid target 5A tu."
    
Sehubungan itu, katanya beliau  bagi pihak Jabatan Pendidikan negeri dan ibu bapa murid berkenaan meminta pihak yang menyebarkan kenyataan itu supaya menghentikan perbuatan yang tidak bertanggungjawab itu.
    
"Ibu dan bapanya reda dengan pemergian anak mereka dan tidak akan mengambil tindakan undang-undang  terhadap penyebar berita tersebut.  Cuma mereka menasihatkan agar pihak  terlibat tidak  menulis dan menyebar sesuka hati perkara yang tidak pasti," katanya.Al-fatihah  - Bernama

0 Response to "Punca sebenar Calon UPSR meninggal dunia, bukan akibat tekanan "

Catat Ulasan