“SAYA tidak mengantuk, cuma agak keletihan kerana terpaksa menunggu lama untuk memulakan aksi. Keadaan ini serba sedikit menjejaskan fokus.”
Demikian tegas penembak negara, Nur Ayuni Farhana Abdul Halim yang didakwa tidak cukup tidur sebelum turun beraksi dalam acara 10 meter (m) raifal individu wanita pada temasya Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan semalam.
Dalam acara tersebut, Nur Ayuni terkandas seawal pusingan kelayakan, sekali gus gagal mara ke final.
Dia juga menafikan dakwaan yang mengatakan dia tidak cukup tidur semalam sehingga menjejaskan prestasinya dalam acara kegemarannya itu.
“Saya tidak mengantuk, malah saya mempunyai rehat yang secukupnya. Ia dakwaan yang tidak berasas,” katanya.
Biarpun diharapkan bakal melakar kejutan pada temasya kali ini, Nur Ayuni sebaliknya sekadar menamatkan saingan di tangga ke-17 pada aksi yang berlangsung di Lapang Sasar Antarabangsa Ongnyeon, Incheon itu.
Namun, Nur Ayuni menegaskan dia telah memberikan yang terbaik meskipun gagal ke final.
“Sekali lagi saya menegaskan bahawa saya tak mengantuk dan ia bukan satu gangguan sehingga menyebabkan saya kehilangan fokus hari ini (semalam).
"Saya juga berpuas hati kerana dapat mengekalkan skor supaya tidak kurang daripada 412 mata," katanya.
Nur Ayuni memberitahu, skor kali ini juga lebih baik berbanding temasya Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland iaitu 409 mata.
"Saya berazam untuk kembali bangkit menjelang dua lagi kategori iaitu 50m raifal prone dan 50m raifal tiga posisi selepas ini," katanya.
Menurutnya, dia juga tidak berdepan sebarang kesukaran kali ini seperti mana insiden ketiadaan jaket khas gara-gara kehilangan bagasi sehingga nyaris terpaksa melupakan Sukan Komanwel sebelum ini.
"Jurulatih memberikan kebebasan kepada kami untuk menjalani latihan sebelum aksi sebenar ataupun tidak bagi memastikan kami benar-benar bersedia secara mental dan fizikal.
"Jadi, saya harap dapat memberikan yang terbaik dalam kedua-dua acara itu kelak," katanya.
0 Response to "Sukan Asia : Mengantuk punca Nur Ayuni penembak cantik negara gagal ?"
Catat Ulasan