6 Gambar Puting Beliung landa Pendang Kedah 14 Okt 2014

Alor Setar : Sekurang-kurangnya 10 buah rumah di Pendang dan Kuala Kedah di sini, rosak akibat dilanda puting beliung, petang Selasa.
Kejadian kira-kira pukul 4 petang itu turut menyebabkan sebuah sekolah di Kampung Alor Besar di Pendang, dekat sini terjejas teruk apabila bumbung bangunan diterbangkan dan makmal komputer dikatakan mengalami kerosakan.

Berdasarkan maklumat, angin berpusar setinggi bangunan empat tingkat itu dilihat terbentuk sejurus hujan lebat melanda.

Ia turut menerbangkan bumbung dan dinding beberapa rumah di Kampung Alor Besar.

Turut mengalami kerosakan, tiga buah rumah di Taman Seri Kota di Kuala Kedah akibat insiden sama.

Jurucakap Polis Daerah Pendang ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

"Jumlah kerosakan masih dalam siasatan," katanya.

Seorang anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Pendang, Ishak Omar, berkata kejadian itu melibatkan kerosakan harta benda yang teruk. 

Sementara itu, seorang penduduk Kampung Alor Besar berkata pusaran angin itu yang tiba-tiba datang dari arah utara menyebabkan penduduk kampung bertempiaran lari menyelamatkan diri.

Mohd Hafiz Abu Bakar, 31, berkata beliau sedang bekerja di sawah di belakang rumahnya ketika ternampak puting beliung menghala ke arah rumahnya.

Sejurus itu, beliau nampak bumbung rumah berterbangan di udara dan terus bergegas pulang ke rumahnya bagi menyelamatkan isteri, Noor Rusila Aziz, 24, dan dua anaknya Mohamad Irfan, 2, dan Nur Aisyah Dayana yang berusia empat bulan.





"Bila sampai rumah saya tengok bumbung rumah dan dinding rosak teruk dipukul puting beliung. Saya syukur sebab isteri dan dua anak selamat," katanya kepada Bernama ketika ditemui di tempat kejadian.

Mohd Hafiz berkata akibat kejadian itu, hampir 90 peratus rumah dua tingkatnya, yang sebahagian batu dan sebahagian papan, rosak teruk selain kesemua barangan dalam rumahnya termasuk perabut dan barangan elektrik rosak dihempap serpihan kayu.

Beliau menganggarkan kerugian kira-kira RM50,000.

Noor Rusila pula berkata ketika kejadian, beliau dan dua anaknya berada di dalam bilik sebelum terdengar bunyi deruman angin kuat.

"Saya tak berani nak keluar rumah sebab takut. Saya duduk dalam bilik dengan dua anak dan berserah kepada Allah swt dengan apa yang berlaku," katanya.
ab
Mohd Hafiz dan keluarganya kini menetap di rumah ibu bapanya yang terletak berhampiran rumah mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Alor Besar Norzizan Jaafar berkata kejadian itu berlaku kira-kira 20 minit menyebabkan orang ramai lari lari menyelamat diri.

"Ini merupakan kali pertama puting beliung berlaku di sini. Sekolah Kebangsaan Alor Besar rosak. Banyak rumah yang mengalami kerosakan teruk dengan hampir kesemua bumbung diterbangkan angin selain ada rumah dihempap pokok tumbang," katanya ketika ditemui di tempat kejadian. Mstar 

0 Response to "6 Gambar Puting Beliung landa Pendang Kedah 14 Okt 2014 "

Catat Ulasan