Jelebu : Kawasan perkelahan dan rekreasi Jeram Toi di Ulu Klawang dekat sini ditutup sementara mulai hari ini kerana disyaki dicemari kencing tikus.
Pengarah Jabatan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan, Datuk Dr Zailan Adnan, berkata langkah itu diambil selepas pihaknya mengesan terdapat empat mangsa yang disahkan dijangkiti penyakit berkenaan selepas mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS).
"Secara jelasnya kita tidak dapat mengesahkan dari mana mereka mendapat jangkitan, namun berdasarkan maklumat diperoleh dari mangsa, antara lokasi yang dikunjungi mereka adalah air terjun Jeram Toi.
"Jadi kita percaya kemungkinan mangsa mendapat jangkitan selepas pulang dari pusat rekreasi itu dan saya telah mengarahkan pemeriksaan dilakukan bagi mengenal pasti kualiti air terjun di situ," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, semua mangsa yang berusia antara 15 hingga 18 tahun kini mendapatkan rawatan di hospital berkenaan dan dilaporkan stabil.
Katanya, tiga daripada mereka adalah sekeluarga yang mendapat simptom jangkitan selepas beberapa hari pulang dari berkelah di kawasan tersebut.
"Jangkitan kuman ini boleh berlaku dengan pelbagai cara dan oleh sebab itu saya berharap semua pihak dapat memastikan tempat rekreasi dalam keadaan bersih dengan tidak membuang sampah merata-rata.
"Namun orang ramai jangan panik dan jika mendapat simptom penyakit tersebut, mereka perlu datang segera ke hospital bagi mendapatkan rawatan," katanya.
Jeram Toi yang popular dalam kalangan pengunjung terletak di kawasan hutan simpan dan di bawah jagaan Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid, berkata tempoh penutupan itu bergantung kepada keadaan iaitu setelah kawasan itu bebas daripada dicemari kencing tikus.
"Setakat ini kita tidak pasti sama ada kawasan ini dicemari kencing tikus atau tidak dan ini bergantung kepada ujian yang dijalankan Jabatan Kesihatan.
"Tapi demi keselamatan pengunjung, kita mengambil langkah untuk menutup sementara kawasan ini buat sementara waktu. Kita akan buka semula kawasan ini apabila keadaan mengizinkan," katanya.
Katanya, pihaknya akan mengadakan gotong-royong esok untuk membersihkan kawasan berkenaan.
Daya tarikan Jeram Toi ialah air terjunnya yang bertingkat tujuh, mengalir deras dari puncak Gunung Telapak Buruk.
Kawasan ini dikelilingi hutan rimba dan sesuai untuk beriadah bersama keluarga -BERNAMA
0 Response to "Jeram Toi ditutup sementara kerana di cemari Kencing Tikus "
Catat Ulasan