Kanak-kanak UAE sertai pejuang IS terbunuh

Damsyik : Seorang kanak-kanak dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang berperang bersama kumpulan militan Negara Islam (IS) di Syria dan bapanya terbunuh dalam satu serangan udara pakatan Amerika Syarikat (AS), kata beberapa penyokong IS di media sosial kelmarin.
Menurut laporan tersebut, kanak-kanak itu, Mohammad al Absi Abu Obeida meninggal dunia pada Rabu lalu.
Bagaimanapun, tarikh dua beranak itu menyertai IS di Syria tidak diketahui.
UAE menganggotai pakatan ketenteraan yang diketuai AS untuk melancarkan serangan udara ke atas kedudukan IS di Syria.
Kumpulan militan itu merekrut pejuang asing dari Teluk dan Eropah.
Setakat ini, umur sebenar budak lelaki itu masih tidak dapat dipastikan. Satu klip video di internet menunjukkan dia memakai seragam tentera dan tersenyum. Berdasarkan rakaman tersebut, Mohammad dipercayai berumur antara sembilan hingga 13 tahun.
Dalam pada itu, Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam laporannya pada awal tahun ini mendapati IS melatih dan menggunakan kanak-kanak dalam peperangan.
“Perbuatan IS menggunakan kanak-kanak berusia bawah 15 tahun dalam peperangan menyebabkan kumpulan berkenaan melakukan jenayah perang,” jelas laporan tersebut.
Penyokong IS bagaimanapun memuji kanak-kanak itu dalam akaun Twitter mereka.
“Dia mahu belajar memandu kereta supaya dia boleh me­lakukan serangan berani mati,” kata seorang pemilik akaun Twitter. – Reuters

0 Response to "Kanak-kanak UAE sertai pejuang IS terbunuh"

Catat Ulasan