MB sokong PBSNT boikot perlawanan JDT vs Terengganu

Kerajaan negeri menyokong penuh keputusan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) memboikot perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Johor Baharu pada 17 Oktober ini.
Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abd Rahman berkata beliau sudah memberi mandat penuh kepada PBSNT untuk membuat keputusan itu sekiranya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkeras untuk tidak mengubah perlawanan kepada tarikh asal, Sabtu ini.
Sekiranya PBSNT akur dengan keputusan FAM, kerajaan negeri akan menyediakan 2,000 tiket percuma dan 50 buah bas kepada penyokong pasukan Terengganu.
“Ini adalah komitmen kerajaan,” katanya.
FAM telah menunda perlawanan itu di Stadium Larkin, Johor Baharu, atas permintaan JDT.
Esok, FAM dijangka mengadakan mesyuarat dengan wakil kedua-dua pasukan itu bagi membincangkan isu penangguhan tarikh tersebut.
Pada saingan suku akhir pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini, Jumaat lepas, kedua-dua pasukan terikat seri tanpa jaringan.

0 Response to "MB sokong PBSNT boikot perlawanan JDT vs Terengganu "

Catat Ulasan