Anak rayu bapa nya Pramugara MAS dibawa pulang ke Malaysia

Ahli keluarga kepada seorang pramugara Penerbangan Malaysia (MAS) yang ditahan di Perancis kerana dituduh melakukan serangan seksual terhadap seorang penumpang wanita empat bulan lalu, merayu bantuan supaya bapa mereka dibawa pulang segera.

Anak sulung tertuduh yang hanya mahu dikenali sebagai Syaza, 24, berkata, sejak kejadian itu mereka tiga beradik berusaha sendiri mengesan bapanya yang didapati ditempatkan di penjara Maison D’arret de Villepinte, Saint Denis kira-kira 30 minit perjalanan dari Paris.

Kata Syaza semua ahli keluarganya buntu tetapi bernasib baik mendapat pertolongan dari pihak Kedutaan Malaysia di Paris dan Wisma Putra yang berjaya menjejaki bapanya.

Namun beliau kecewa dengan sikap MAS yang tidak memberikan sebarang bantuan, malah pada 22 Ogos lalu bertindak menamatkan perkhidmatan bapanya selepas berkhidmat selama 32 tahun dengan syarikat itu.
“Walaupun surat itu bertarikh 22 Ogos, kami tidak menerima surat itu hingga 15 September lalu.



“Surat tersebut mengatakan bahawa pihak MAS memberikan notis 60 hari dari tarikh surat untuk difailkan rayuan terhadap keputusan itu sedangkan mereka sedia maklum bahawa bapa kami sedang dalam tahanan di Paris dan tidak berada di Malaysia,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, selepas menerima surat tersebut, beliau sekeluarga telah menfailkan rayuan kepada MAS tetapi tidak mendapat sebarang maklumbalas.

Syaza juga berasa amat kecewa dan marah kerana cubaannya menghubungi MAS termasuk melalui e-mel bagi mendapatkan bantuan tidak diberikan sebarang respons.

“Bapa kami telah bekerjasama dengan pihak berkuasa Perancis demi menjaga imej dan reputasi syarikat yang dia telah berkhidmat selama lebih 32 tahun dan ini balasan yang diterimanya.

“Setakat ini, bapa saya masih belum disabitkan sebarang kesalahan.

“Bagaimanapun, MAS telah memutuskan untuk menamatkan perkhidmatannya sebelum didakwa.
“Adilkah tindakan yang dibuat MAS? Manakah tanggungjawab mereka untuk melindungi pekerja mereka,” katanya penuh hiba.

Syaza sekeluarga risau kerana pihak berkuasa Perancis menjalankan siasatan terlalu lama.Peguam kami dan Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM) telah menulis surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Kementerian Luar Negeri untuk meminta mengadakan temujanji bagi membincangkan kemungkinan dan pilihan yang ada untuk membawa bapa kami pulang,” katanya.

Tambahnya, jika terdapat keperluan untuk menyiasat, beliau sekeluarga berharap siasatan boleh dilakukan di Malaysia seperti mana yang termaktub dalam Konvensyen Tokyo 1963.

“Kami semua sangat merindui bapa kami dan tidak tahu apa lagi yang boleh kami lakukan. Kami berharap kepada mana-mana pihak yang boleh membantu tampil membantu kami membawa pulang bapa kami,” katanya.

Tuduhan serangan seksual itu dibuat penumpang wanita warga Australia, Laura Bushney terhadap seorang Penyelia Penerbangan (IFS) di atas penerbangan MH20 MAS dari Kuala Lumpur ke Paris.

Bushney mendakwa pramugara terbabit duduk di sebelahnya, selepas tiga jam penerbangan menuju Paris.
Dia yang menaiki penerbangan itu secara sendirian dikatakan merakam insiden berkenaan menggunakan telefon pintar yang disorokkan di bawah selimut di atas pehanya.

Wanita itu juga sempat merakamkan perbalahannya dengan pramugara berkenaan selepas kejadian tersebut. Pramugara itu  ditahan polis sejurus pesawat tiba di Lapangan Terbang Charles de Gaulle, Paris. Credit Therakyatpost

0 Response to "Anak rayu bapa nya Pramugara MAS dibawa pulang ke Malaysia "

Catat Ulasan