Hasil ujian Sampel B milik Datuk Lee Chong Wei,32, yang dikeluarkan Sistem Pengurusan dan Pentadbiran Antidoping (ADAMS) didapati sama dengan keputusan ujian doping Sampel A yang positif sebelum ini.
Walau sudah dijangka, ia tetap keputusan memeritkan buat atlet badminton nombor satu negara ini.
Keputusan ini bermakna Chong Wei perlu menghadapi proses Jawatankuasa Pendengaran Persekutuan Badminton Dunia (BWF) untuk mengetahui hukuman bakal diterima.
Kebiasaannya, jika ujian doping positif maka pemain bakal berdepan hukuman tidak layak menyertai mana-mana kejohanan dan digantung penyertaan selama dua tahun.
Selasa lepas, Chong Wei diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr. Ramlan Abdul Aziz bersama-sama Pengurus Besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Kenny Goh berangkat ke Norway untuk melihat sendiri ujian terhadap sampel B dilakukan di makmal Hospital Universiti Oslo.
Kesemua mereka menyatakan amat puas hati dengan cara ujian dilakukan.
Chong Wei positif ujian doping bagi sampel A menggunakan air kencing yang dilakukan secara rambang semasa Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark, Ogos lepas.
Ujian tersebut mendapati kehadiran bahan terlarang ‘deksametason’ semasa ujian dijalankan.
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dijangka mengadakan sidang media petang ini untuk mengumumkan keputusan secara rasmi. - Credit MYNEWSHUB.MY
0 Response to "Berita Sedih : Sampel B Ujian Doping Datuk Lee Chong Wei POSITIF"
Catat Ulasan