Pencuci tingkap tergantung di tingkat 69 Menara WTC (5 Gambar)

New York : Dua pekerja mencuci tingkap diselamatkan di World Trade Centre (WTC) yang baharu selepas kabel yang mengikat platform mereka terputus, menyebabkan mereka terpaksa bergayut di tingkat 69 selama hampir dua jam.
Pasukan penyelamat terpaksa membuat lubang pada tingkap tingkat 68 untuk menyelamatkan pekerja terbabit yang berpaut pada platform yang tergantung di satu sudut di bahagian selatan bangunan itu, pada ketinggian 240 meter di Menara Satu kompleks berkenaan di Manhattan.
Kira-kira 100 anggota bomba dan penyelamat terbabit dalam operasi menyelamat di kompleks berkenaan setinggi 1,776 kaki itu, iaitu yang tertinggi di Amerika Syarikat.



Pesuruhjaya Bomba New York, Daniel Nigro berkata anggotanya mengambil masa hampir sejam untuk sampai ke tempat kedua-dua pekerja itu tergantung.
"Mereka berdiam diri dan tidak bercakap banyak," kata Nigro.
Pihak penyelamat memotong lubang di sebuah tingkap di tingkat 68 dan membawa pekerja itu masuk ke dalam bangunan.
Sebelum mereka diselamatkan, anggota bomba menggantungkan kabel untuk memastikan platform itu tidak jatuh dan berkomunikasi dengan kedua-dua pekerja terbabit menerusi radio.
Ambulans, kenderaan bomba dan helikopter dihantar ke tempat kejadian dan kawasan di sekitar bangunan berkenaan di New York ditutup.
Pihak berkuasa berkata pekerja berkenaan memakai alat keselamatan menyebabkan mereka tidak berada dalam keadaan merbahaya.
Bangunan itu, yang dibina semula di atas tapak lama WTC yang diserang pada 11 September 2001, dibuka semula minggu lalu. - AFP

0 Response to "Pencuci tingkap tergantung di tingkat 69 Menara WTC (5 Gambar)"

Catat Ulasan