Syahrul Azwari mahu bersama Kelantan

Penyerang skuad Harimau Muda A, Syahrul Azwari Ibrahim memasang impian untuk menyertai pasukan kelahirannya, Kelantan suatu masa nanti.

Sedar dengan prestasi The Red Warriors yang kini semakin merudum, Syahrul bertekad akan mengembalikan kegemilangan bola sepak Kelantan, sekiranya diberi peluang.

"Sekiranya saya diberi peluang suatu masa nanti, saya akan kembali ke negeri kelahiran saya, Kelantan. Saya mahu membantu pasukan itu kembali ke tahap yang sebenarnya.

"Saya akui Kelantan mengalami kemerosotan, dan ia membuatkan saya rasa terpanggil untuk membantu pasukan itu," kata Syahrul, 21, ketika rakaman program Football Overload, terbitan Astro Supersport, sebelum sesi latihan bersama skuad Harimau Muda di Wisma FAM, siang tadi.

Pemain kelahiran Tanah Merah ini masih memiliki baki kontrak bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sehingga tahun depan dan dalam fokus persiapan untuk ke Sukan Sea 2015 di Singapura.



Syahrul yang baru sahaja seminggu kembali berlatih bersama Harimau Muda A selepas berehat panjang akibat kecederaan ACL, akui melalui tempoh yang sukar ketika proses pemulihan di Institut Sukan Negara.

"Sebelum ini, saya terpaksa berehat selama setahun akibat kecederaan ACL dan baru seminggu saya turun berlatih di padang. Jadi fokus saya ketika ini adalah untuk mengembalikan prestasi terbaik saya untuk menghadapi Sukan Sea nanti.

"Selain itu, persaingan merebut posisi ini juga bukannya perkara yang mudah.

"Saya merasakan begitu selesa berada dibawah bimbingan Datuk Ong Kim Swee. Saya faham apa yang beliau perlukan kerana saya sudah lama bekerja dengannya," tambah Syahrul. 

0 Response to "Syahrul Azwari mahu bersama Kelantan "

Catat Ulasan