Indra akur di tegur fesyen rambut kini kembali botak

Abang Botak kembali’ ! Begitulah bunyinya status terbaru Indra Putra Mahyuddin apabila memuatnaikan foto terbarunya di laman sosial, malam tadi.

Jelas sekali dia menzahirkan semangat Harimau Malaya menerusi status di akaun sosialnya selain seolah-olah menerima teguran penyokong supaya tidak terlalu mengikut potongan rambut ala Eric Cantona - digelar media Vietnam ketika dia beraksi di Hanoi.

Ketika beraksi di separuh akhir kedua menentang Vietnam, media negara itu membayangkan Indra sebagai Cantona tetapi penulisnya tersilap apabila menyangkanya Safee Sali.

Menerusi artikel bertajuk ‘Tiger eat us at home’, penulis itu menggambarkan pemain itu masih bersama Kelantan, agak tua tetapi berbisa.

Indra adalah antara pemain senior seperti Muhammad Shukor Adan yang memainkan tugas penting ketika membenam Vietnam 4-2, pada aksi separuh akhir kedua di Hanoi, selepas skuad kebangsaan tewas 1-2, di Stadium Shah Alam, 7 Disember lalu.

Pemain berusia 33 tahun itu diberikan kepercayaan beraksi dalam kesebelasan utama menggantikan Safee yang cedera pangkal paha.

Walaupun Indra tidak menjaringkan gol seperti ketika menyumbat gol ketiga dari jarak jauh menentang Singapura pada aksi peringkat kumpulan, namun pemain FELDA United itu mencuri tumpuan 40,000 penyokong Vietnam di Stadium Nasional My Dinh.

Larian pertamanya dalam kotak penalti menghadiahkan sepakan penalti buat skuad Dollah Salleh pada minit kedua manakala hantaran lintangnya dari sebelah kiri ditampan masuk pertahanan tuan rumah Din Tien Thanh pada minit ke-29.

Indra dipetik berkata, ia kejayaan cukup manis buat dirinya di pentas antarabangsa selepas beberapa tahun tidak beraksi sehinggalah dipanggil semula Dollah pada perlawanan persahabatan dengan Indonesia, 14 September lalu.

“Bagi saya, kejayaan ini adalah kerjasama berpasukan dan semangat juang tinggi semua pemain,” katanya.
Indra kini sudah mengumpul 16 gol daripada 49 penampilan bersama skuad kebangsaan sejak 2002.

“Perlawanan akhir ini cukup bermakna bagi saya di pentas antarabangsa dan saya harap kami boleh berikan aksi terbaik di depan penyokong sendiri,” kata Indra. Credit HM

0 Response to "Indra akur di tegur fesyen rambut kini kembali botak "

Catat Ulasan