Kuala Lumpur : Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) hari ini membuat satu laporan polis berhubung kes kehilangan buku cek kewangan bagi persatuan tersebut di Balai Polis Taman Melawati, Wangsa Maju kira-kira pukul 3 petang tadi.
Presidennya, Zed Zaidi atau nama sebenarnya Rozaidi Jamil, 34, berkata, laporan berkenaan merujuk kepada kehilangan buku cek yang dikatakan berada pada tangan bendahari persatuan itu yang dipegang oleh pelakon Vanidah Imran.
“Pihak Seniman terpaksa membuat laporan polis kerana sehingga sebelum laporan ini dibuat, kami sudah menghubungi pihak bendahari, namun tidak mendapat sebarang maklum balas.
“Akibat daripada kehilangan buku cek tersebut, pihak Seniman menghadapi kesukaran untuk membuat pelbagai bayaran terhadap kos-kos pentadbiran seperti bayaran sewa pejabat, gaji pekerja, bil air, bil api dan sebagainya,” ujarnya Zed Zaidi ketika ditemui tadi.
Menurut Zed, apa yang menyedihkan pihak Seniman, perkara tersebut juga turut mengganggu perjalanan persatuan untuk membantu meringankan bebanan kepada mana-mana artis yang memerlukan.
“Misalnya, sumbangan untuk keluarga seniman Allahyarham Mustapha Maarof juga tidak dapat dilaksanakan sedangkan arwah sendiri merupakan bekas presiden Seniman. Itu yang paling mengecewakan pihak Seniman sebenarnya,” ujarnya.
Zed berkata, perkara berkenaan akan dibawa ke dalam mesyuarat Ahli Jawatankuasa (AJK) kedua persatuan itu dalam masa terdekat untuk menjalankan undi tidak percaya, sekali gus menggugurkan nama Vanidah daripada bendahari persatuan.
“Dia (Bendahari) yang menimbulkan masalah. Jika dia tidak bawa pulang buku cek itu dan tahu bagaimana prosedur untuk menguruskan pentadbiran persatuan, semuanya tidak akan jadi seteruk ini.
“Disebabkan sikap dia yang tidak bertanggungjawab ini, pihak Seniman terpaksa menanggung hutang lebih daripada RM20,000 bagi kos operasi perjalanan persatuan.
"Kalau tidak tahu buat kerja, jangan berlagak pandai. Saya sarankan agar bendahari letak jawatan jika tidak mampu memegang amanah yang diberikan kepadanya,” ujarnya.
Tambahnya, dia akan menghantar laporan polis tersebut kepada pihak bank bagi tindakan memohon buku cek baharu. -Credit KOSMO!
0 Response to "Zed Zaidi perang dingin dengan Vanidah Imran isu buku cek hilang ?"
Catat Ulasan