Alor Setar : Seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun meninggal dunia disyaki akibat jangkitan virus kencing tikus atau ‘leptospirosis’ selepas berkelah bersama keluarganya di pusat rekreasi Titi Hayun, Yan di sini, 20 November lalu.
Mangsa, Amirah Maisarah Zir Omar Khan, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Pinang di sini, disahkan meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) jam 11.27 malam kelmarin selepas tiga hari dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) hospital berkenaan.
Difahamkan, mangsa pergi bersama ibu bapa serta dua adiknya yang berusia dua dan lima tahun di pusat rekreasi berkenaan.
Datuk mangsa, Mohamad Desa, 66, berkata, dia terkilan pihak HSB tidak dapat mengesan lebih awal penyakit cucunya walaupun mendapatkan rawatan di situ sejak Selasa lalu.
“Anak saya, Zir Omar Khan ada membawa Amirah Maisarah ke HSB mendapatkan rawatan kerana demam Selasa lalu. Apa yang mengecewakan, pihak HSB meminta kami pulang selepas memberi ubat kerana mengganggap cucu hanya demam biasa.
“Keesokan harinya, kami membawa Amirah Maisarah ke hospital pakar dan tidak sampai sehari, kami dimaklumkan dia dijangkiti virus kencing tikus,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Pinang Merah, Bukit Pinang, di sini semalam.
Menurut Mohamad, pada malam Rabu lalu, mereka merujuk semula Amirah Maisarah ke HSB selepas keadaan kanak-kanak itu semakin serius di mana badannya semakin panas selain mulut berbuih.
“Cucu dimasukkan ke ICU HSB tiga hari sebelum disahkan meninggal dunia malam tadi (kelmarin) jam 11.27 malam,” katanya.
Menurut Mohamad, adik kedua Amirah Maisarah, Nur Syazana juga disahkan positif virus kencing tikus selepas mendapatkan rawatan di sebuah hospital pakar.
“Dia ditahan di HSB untuk rawatan lanjut. Cucu bongsu, Zaharah, demam dan dibawa ke HSB.
“Saya bimbang jika kedua-dua cucu saya tidak diberikan rawatan awal, mereka mungkin menerima nasib sama seperti Amirah Maisarah,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Kedah Datuk Dr Nor- hizan Ismail mengesahkan kemungkinan mangsa dijangkiti virus kencing tikus.
Beliau berkata, pemeriksaan dan ujian awal makmal HSB menunjukkan kemungkinan kejadian itu disebabkan virus kencing tikus.
“HSB dalam tindakan menghantar sampel darah untuk ujian pengesahan jangkitan leptospirosis di makmal Institut Penyelidikkan Perubatan (IMR) Kuala Lumpur.
“Di sebalik rawatan rapi diberikan, Amirah Maisarah tidak menunjukkan tindak balas yang memuaskan dan disahkan meninggal dunia jam 11.27 malam tadi (kelmarin),” katanya.
Jenazah Amirah Maisarah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Bukit Pinang di sini, pagi semalam. Al-fatihah salam takziah credit Sikapkeli, Harian Metro
0 Response to "Sayu : Badan adik Amirah panas mulut nya berbuih akibat kencing tikus "
Catat Ulasan