Kuala Lumpur: “Pemantauan dan penapisan (kandungan jenaka) adalah perkara utama yang dititikberatkan (Astro) setiap minggu,” jelas Ketua Kumpulan Saluran Premium Astro, Nizam Sani berhubung kontroversi kandungan komedi peserta Maharaja Lawak Mega (MLM) 2013 yang dianggap kurang sensitif dan tidak peka terhadap penonton.
Kekecohan tercetus apabila sketsa dipersembahkan pelawak dan pengacara, Nabil Ahmad pada minggu separuh akhir MLM2013 di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Johor, Jumaat lalu mengundang kontroversi dan dikecam hebat peminat kerana mengaibkan salah seorang juri iaitu Luna Maya.
Berikutan itu, timbul desas-desus mempersoalkan tahap pemantauan dan kawalan daripada Astro terhadap komedi peserta yang sudah beberapa kali dilihat kurang sensitif dan mempersendakan individu atau isu tertentu sebagai bahan jenaka di pentas pertandingan.
Nizam yang dihubungi berkata, pemantauan awal pada kandungan jenaka peserta adalah perkara rutin paling penting yang diamalkan dalam setiap program siaran langsung.
“Ketika peserta mengadakan latihan sebelum pertandingan sebenar, kita akan pantau dan kawal kandungan jenaka mereka.
Kalau ada yang tak sesuai, kita minta mereka buang.
“Cuma biasalah apabila pertandingan secara langsung, kadang-kadang mungkin peserta terlupa jenaka yang sudah disusun.
Jadi mereka terpaksa mengeluarkan jenaka spontan daripada apa mereka lihat depan mata untuk menyelamatkan keadaan.
“Bila dah spontan, mungkin ada (kandungan) kurang sesuai dan mengganggu sensitiviti pihak tertentu tapi saya percaya ia bukan disengajakan,” katanya.
Beberapa hari lalu, Nabil dalam kenyataannya berkata, dia tidak menyangka jenaka itu dianggap sebagai unsur penghinaan dan mengaibkan Luna.
Bagaimanapun, dia tidak berhasrat memohon maaf kerana tidak melakukan sebarang kesalahan atau mempunyai isu peribadi dengan pelakon dan pengacara dari Indonesia itu.
Nabil juga meluahkan rasa kesal dengan sikap segelintir peminat yang berfikiran sempit dan membesar-besarkan hal terbabit.
Mengulas lanjut, Nizam berkata, pihaknya sudah menghubungi Luna dan menjernihkan kekeliruan yang timbul.
“Kita sudah jelaskan pada Luna bagi mengelakkan perkara ini jadi salah faham.
Saya percaya sama ada Nabil atau mana-mana peserta sedia maklum dan peka terhadap polisi yang ditetapkan.
“Apa juga bahan jenaka yang ‘terlepas’ ketika siaran langsung akan kami tapis dan senyapkan audio (mute) untuk siaran di televisyen.
“Malah, sebelum ini pun kita pernah mengeluarkan surat amaran kepada peserta yang melanggar etika dan polisi yang sudah dipersetujui dari awal,” katanya.
Katanya, pelbagai kontroversi yang timbul sepanjang pertandingan tahun ini adalah perkara lumrah kerana MLM menghimpunkan bintang-bintang besar komedi tanah air.
“Apabila anda mengumpulkan artis-artis popular kontroversi adalah sesuatu yang tak dapat dielakkan.
“Kita hanya boleh ulas kalau kontroversi berkaitan pertandingan tapi kalau kontroversi peribadi itu hak mereka,” katanya.
Peringkat akhir MLM2013 malam esok akan menyaksikan persaingan lima finalis iaitu kumpulan Sepahtu, Shiro, Jambu, Bocey dan Nabil.HM
0 Response to "Astro hubungi Luna Maya isu lawak melampau Nabil"
Catat Ulasan