MH17 Video : Ukraine dedah bukti peluru berpandu dari Rusia

Perkhidmatan Keselamatan Ukraine (SBU) telah mendedahkan bukti bahawa salah satu daripada tiga sistem peluru berpandu permukaan BUK-M1 Rusia melepaskan peluru berpandu dari lokasi berhampiran bandar Snizhne di rantau Donetsk.

Menurut Ketua Jabatan Perisikan Balas SBU Ukraine, Vitaliy Nayda, bukti ditemui semasa penyiasatan dilakukan dengan material gambar membuktikan bahawa dua sistem pelancar peluru berpandu permukaan BUK-M1 menyeberangi sempadan dari Ukraine ke Rusia, sehari selepas MH17 dilaporkan ditembak jatuh oleh peluru berpandu.

"Satu daripadanya mempunyai satu set lengkap empat peluru berpandu, dan satu lagi dengan tiga peluru berpandu. Pada pukul 4 pagi (waktu Ukraine), empat kereta pengangkut menyeberangi sempadan dari Ukraine ke Rusia, salah sebuah daripadanya telah membawa BUK-M1.

"Perbualan telefon antara pengganas, dipintas oleh Perkhidmatan Keselamatan Ukraine, mengesahkan bahawa sekurang-kurangnya satu sistem BUK-M1 sebelum ini telah tiba ke Ukraine dari Rusia, dengan krew terdiri daripada tiga anggota tentera Rusia," kata beliau pada taklimat media di Pusat Media Krisis Ukraine pada Sabtu.
Pada taklimat itu, Nayda menunjukkan gambar sistem peluru berpandu BUK-M1 yang lalu di jalan-jalan di Torez, tapak di mana pesawat itu terhempas.

"SBU mempunyai bukti bahawa peluru berpandu telah dilancarkan pada pukul 16:20 (waktu Ukraine) pada 17 Julai, dari kawasan berhampiran Torez, tidak jauh dari Snizhne, dan itu adalah peluru berpandu yang menembak jatuh pesawat penumpang," katanya.

Penyiasat Ukraine cuba untuk mendapatkan akses ke titik peluru berpandu dilancarkan dan juga ke lokasi kemalangan pesawat tetapi puak pemisah menghalang mereka daripada memasuki kawasan tersebut.

"Rusia sedang cuba untuk menutup laluannya dan mendakwa pihak lain bertanggungjawab ke atas tindakan keganasan," kata Nayda.

Beliau mengulangi bahawa penyiasat Ukraine berkongsi semua bukti dengan semua agensi-agensi antarabangsa yang menjalankan siasatan bebas.

Penerbangan MH17, membawa 298 penumpang dan anak kapal, terbang dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dan terhempas di Ukraine.

Pihak berkuasa Ukraine percaya bahawa pesawat telah ditembak jatuh oleh pemisah pro-Rusia. Mstar 

0 Response to "MH17 Video : Ukraine dedah bukti peluru berpandu dari Rusia"

Catat Ulasan