Budu pun terima tempias PRK Dun Pengkalan Kubor

TUMPAT - Kehadiran Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun Pengkalan Kubor), di sini sememangnya memberi rahmat kepada segelintir masyarakat terutama kepada pengusaha perniagaan.

Pengusaha kedai makanan khususnya menerima kehadiran pelanggan yang berlipat ganda berbanding sebelum ini, ekoran kedatangan masyarakat luar seperti  pasukan keselamatan, petugas pilihan raya dan pegawai kerajaan yang terlibat secara langsung dan tidak langsung pada PRK tersebut.

Pengusaha budu tidak ketinggalan menerima 'habuan' PRK kali ini apabila mendapat permintaan tinggi daripada pengusaha kedai dan orang ramai yang sememangnya semakin meminati makanan tradisional itu.

Budu yang diperbuat daripada ikan bilis yang diperam hingga hancur telah lama menjadi kegemaran masyarakat di negeri Pantai Timur.

Seorang pengusaha budu tempatan Ismail Jusoh berkata, sejak beberapa hari lalu permintaan terhadap budu yang dikeluarkannya dalam sehari meningkat berbanding hari biasa.

"Selalu pada hari biasa saya mengeluarkan 2,000 hingga 3,000 botol sehari, tetapi pada PRK ini permintaan meningkat sehingga 4,000 botol sehari," katanya yang ditemui Bernama di rumahnya di Kampung Ketil, Pengkalan Kubor di sini, hari ini.

Ismail yang merupakan pemilik Perusahaan Warisan Ketereh, pengeluar produk budu terkenal 'Budu Cap Ketereh' berkata, permintaan yang tinggi terhadap budu selalunya berlaku pada musim durian atau musim petai iaitu antara Julai hingga September.

Namun, katanya, pada PRK ini pengusaha kedai makan dan restoran yang menjual budu telah menerima kehadiran pelanggan yang tinggi sekaligus 'memaksa'  beliau mengeluarkan lebih banyak budu. 

"Ada juga orang dari luar negeri yang datang ke sini membeli banyak budu sebagai buah tangan untuk rakan-rakan dan saudara mereka," katanya.    

Menceritakan mengenai perusahaan budunya, Ismail, 63, berkata beliau memulakan perniagaan pada tahun 1980 secara kecil-kecilan dengan modal pertama sebanyak RM1,500. 

Perniagaannya kemudian berkembang sedikit demi sedikit sehingga mampu membina sebuah kilang dan stor simpanan berhampiran rumahnya dan mampu  menggaji lebih 70 orang pekerja.

Ismail berkata, pada masa ini Budu Cap Ketereh keluarannya sudah pun 'merantau' dan dinikmati di seluruh Malaysia dan beliau bercadang pada masa akan datang untuk mengembangkan perniagaan dan mengeksport budunya keluar negara.

Pada PRK itu, calon BN Mat Razi Mat Ail akan ditentang calon Pas Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.    

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada BN Datuk Noor Zahidi Omar akibat kanser hati pada 20 Ogos lepas.    

Pada pilihan raya umum ke-13, Noor Zahidi  mengalahkan Saharun Ibrahim daripada PKR dan Izat Bukhary (Bebas) dengan majoriti 1,736 undi. - Bernama

0 Response to "Budu pun terima tempias PRK Dun Pengkalan Kubor"

Catat Ulasan