Brendan Gan dan Gary Steven Robbot pilihan Dollah Salleh

INCHEON: Ketua jurulatih kebangsaan Dollah Salleh berkemungkinan besar akan menggunakan khidmat pemain tengah Harimau Muda, Gary Steven Robbot dan pertahanan Brendan Gan ( Jersi no4 gambar ) bagi membantu Harimau Malaya menghadapi cabaran Piala Suzuki AFF 2014 di Singapura dan Vietnam dari 22 November hingga 20 Disember ini.
Beliau mengakui terpikat dengan corak permainan kedua-dua pemain yang dilihat menonjol pada aksi perlawanan kedua peringkat Kumpulan A ketika Malaysia menentang Laos di Stadium Ansan Wa pada Temasya Sukan Asia ke-17 di sini semalam.
Skuad Bawah 23 tahun negara berjaya mengutip tiga mata pertama selepas mengalahkan Laos 4-0 dan akan melengkapkan jadual perlawanan kumpulan menentang Arab Saudi pada Ahad ini bagi memperoleh slot ke suku akhir, 20 September ini.
"Saya dapat melihat perubahan besar pada pasukan Bawah 23 negara semalam selepas Gary dibawa masuk oleh jurulatih Datuk Ong Kim Swee dengan Malaysia mula menjaringkan tiga gol selepas itu," katanya kepada Bernama di perkampungan atlet di sini hari ini.
Beliau berkata nama dua pemain iaitu kapten pasukan Harimau Muda, Mohamad Aidil Zafuan Abdul Radzak dan pemain pertahanan Mohamad Fadhli Mohd Shah telah didaftar dalam sistem pemain yang akan beraksi di cabaran AFF nanti.
"Kita mempunyai ramai pemain tengah berbakat namun sukar untuk mendapatkan pemain di jentera serangan dan saya perlu berhati-hati dalam membuat keputusan dalam pengambilan pemain," kata Dollah.
Beliau berkata sudah pun memasukkan nama 22 pemain dalam sistem pendaftaran pemain dan hanya akan mengumumkan senarai akhir selepas perlawanan amal persahabatan menentang Terengganu pada 24 September ini di Kuala Terengganu.
Pada AFF Suzuki 2014, Malaysia bakal menghadapi cabaran getir apabila diundi dalam Kumpulan B bersama Singapura yang juga juara bertahan selain juara tiga kali Thailand.
Sebagai rekod, Singapura adalah pemenang terbanyak kejohanan sebanyak empat kali (1998 dan 2004 - ketika itu dikenali sebagai Piala Tiger), 2007 dan 2012 selain Thailand sebanyak tiga kali (pada 1996, 2000 dan 2002).
Malaysia pula meraih kejuaraan sulung pada 2010 yang dihoskan Indonesia dan Vietnam selain pernah muncul naib juara pada 1996 selepas kalah 0-1 kepada Thailand. - Bernama 

0 Response to "Brendan Gan dan Gary Steven Robbot pilihan Dollah Salleh "

Catat Ulasan