Dua Pemain Harimau Malaya sertai TRW musim depan

Kuala Lumpur : Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa mengesahkan seramai dua pemain kebangsaan Harimau Malaya akan menyarung jersi The Red Warriors (TRW) pada tahun depan.

Beliau turut mengesahkan tiga pemain import yang merupakan pemain kebangsaan di negara masing-masing akan menyertai pasukan Kelantan bagi memperkuatkan pasukan itu dalam cabaran musim hadapan.

“Ketiga-tiga pemain import berusia antara 22 hingga 26 tahun itu akan menjadi tumpuan dalam usaha meremajakan TRW serta persiapan untuk bermain secara pantas dan menyerang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Annuar memberitahu, senarai akhir 23 pemain yang akan mewakili TRW dalam saingan liga 2015 akan dimuktamadkan malam ini.

Beliau bagaimanapun mengakui Kafa berhadapan masalah kewangan dan penajaan dalam misi menyaingi lima pasukan gergasi di Malaysia yang mendapat tajaan kerajaan negeri masing-masing.

“Namun kita tidak mudah berputus asa dan akan bergadai gobek demi membentuk TRW yang kuat,” katanya.

Beliau dalam pada itu memaklumkan TRW akan mengadakan beberapa perlawanan persahabatan bermula Disember menentang pasukan Timor Lester dan beberapa kelab terkemuka dari Thailand dan Jakarta serta Terengganu.

0 Response to "Dua Pemain Harimau Malaya sertai TRW musim depan"

Catat Ulasan