Misteri gadis hilang 24 jam pulang kerumah terungkai

Selepas 24 jam menghilangkan diri, akhirnya Nur Fathia Idris, 25, gadis yang keluar dari rumah ibu saudaranya di Larkin, Johor Bahru sejak pagi semalam membuat keputusan untuk kembali ke pangkuan keluarganya hari ini.

Ibu gadis tersebut, Fatimah Ismail, 50, ketika menghubungi The Rakyat Post pada Ahad berkata, berita gembira mengenai kepulangan anaknya itu dimaklumkan oleh adik gadis itu yang memberitahunya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menyatakan Fathia mahu pulang ke rumah.

Katanya, ketika itu adik gadis tersebut Abd.Halim Idris, 21, bersama rakan-rakannya mencari Fathia sejak semalam sejurus kakaknya dilaporkan hilang oleh keluarganya.

“Masa itu Halim beritahu saya jam menunjukkan 3 pagi dan saya masa itu masih lagi dalam keadaan mamai. Saya rasa macam bermimpi menerima berita itu.

“Bagaimanapun selepas solat Subuh, Halim yang menunggu saya di luar bilik sekali lagi memberitahu kakaknya hendak pulang pagi ini.

“Halim juga berpesan kepada saya agar buang yang keruh dan ambil yang jernih serta mulakan hidup baru dalam keluarga,” katanya.

Fatimah berkata tidak lama selepas itu Halim kemudian keluar rumah untuk mengambil kakaknya di sebuah restoran makanan segera di Stulang.

Fathia dilapor hilang oleh keluarganya selepas keluar dari rumah ibu saudaranya untuk pergi ke kedai di Larkin, Johor Bahru pagi semalam.

Gadis tersebut yang dihantar oleh ibunya dari Bandar Baru Uda telah keluar dari rumah ibu saudaranya itu kira-kira jam 7.30 pagi namun tidak pulang selepas sejam.

Keadaan tersebut telah menimbulkan rasa curiga ahli keluarga hingga satu laporan polis terpaksa dibuat.
Menceritakan tentang kepulangan anaknya itu, Fatimah memberitahu, Fathia terus mendakapnya dan kemudian sujud di kaki sambil memohon maaf di atas tindakannya itu.

Perkara yang sama turut dilakukan Fathia terhadap bapanya yang rungsing memikirkan tentang kehilangan anaknya itu sehingga terpaksa mengambil ubat tahan sakit kerana sakit kepala lebih-lebih lagi ekoran faktor usianya yang telah meningkat.

Katanya, semasa pulang Fathia berada dalam keadaan yang sangat lesu ekoran tidak menjamah sebarang makanan sejak semalam.

“Kami sekeluarga membuat sujud syukur sekembalinya Fathia ke rumah.

“Kami juga tidak mendesak dia untuk menceritakan kepada kami sebab dia bertindak menghilangkan diri dari rumah ibu saudaranya semalam,” ujarnya dalam nada hiba.

Katanya, laporan polis yang dibuat di Balai Polis Larkin sejurus kehilangan Fathia semalam juga sudah ditarik balik.

Tambahnya, sebagai tanda mensyukuri kepulangan Fathia itu dia bercadang mahu membuat pulut kuning dan juga bubur merah untuk dihantar ke masjid hari ini. Credit The Rakyat Post

0 Response to "Misteri gadis hilang 24 jam pulang kerumah terungkai"

Catat Ulasan