Kapten Razman Roslan kekal bersama Tok Gajah

Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) memutuskan untuk mengekalkan khidmat ketua pasukan Tok Gajah, Razman Roslan dan Hafiz Kamal pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Keputusan itu diumumkan Presiden PBNP Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah yang menegaskan kelibat dua pemain itu masih diperlukan bagi memperkuatkan pasukan.

Pahang juga turut mengekalkan empat awang import, Matias Conti, Dickson Nwakaeme, Damion Stewart dan Zesh Rehman selepas mempamerkan aksi membanggakan sepanjang musim ini.

Tengku Abdul Rahman berkata, sebelum ini Razman dan Hafiz ada menyuarakan hasrat meninggalkan Pahang musim depan bagi mencuba nasib dengan pasukan baru selepas kontrak dengan PBNP berakhir hujung bulan ini.

Katanya, namun selepas mengambil kira peranan serta kepentingan pemain itu dalam pasukan Tok Gajah, keputusan mengekalkan mereka diambil demi kebaikan kedua-dua belah pihak.

“Saya begitu berharap Razman dan Hafiz terus kekal bersama Pahang musim depan, kontrak baru akan ditawarkan sebaik saja kontrak berakhir hujung bulan ini.

“Selain pemain ini, PBNP turut berusaha mengekalkan semua pemain termasuk jurulatih Zainal Abidin Hassan yang berjaya menjalankan tugas dengan sempurna,” katanya.

Menurut Tengku Abdul Rahman, selepas berjaya membantu Pahang menjulang Piala Malaysia dua musim berturut-turut mustahil PBNP melepaskan Zainal walaupun ada pihak menyatakan beliau akan bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Katanya, Zainal sudah menyatakan persetujuan terus kekal membimbing Tok Gajah dalam usaha merangkul lebih banyak kejuaraan musim depan selepas meraih Piala Sumbangsih, Piala FA dan Piala Malaysia musim ini.

0 Response to "Kapten Razman Roslan kekal bersama Tok Gajah "

Catat Ulasan