Seorang wanita yang sering bersenam dengan berjoging di Jalan Kebun Bunga, Pulau Pinang terkejut apabila hari ini beliau menemui mayat manusia tanpa kepala dan kaki dalam sebuah beg pakaian.
Mayat itu ditemui jam 10 pagi Khamis setelah wanita berkenaan terhidu bau busuk dari sebuah beg yang ditinggalkan di sebuah surau berhampiran laluan yang dilaluinya setiap hari untuk berjoging, lalu membuat pemeriksaan.
Curiga dengan bau itu, beliau membuat pemeriksaan lebih dekat ke atas beg yang diletakkan di tempat parkir Surau Al-Aslah itu lantas ternampak sepasang tangan manusia terjulur keluar selain terdapat kesan darah pada beg.
Wanita berkenaan terus memaklumkan anggota polis yang bertugas di pondok polis berdekatan, yang kemudiannya melaporkan penemuan itu ke Balai Polis Pulau Tikus, Georgetown.
Sepasukan anggota unit forensik yang tiba di tempat kejadian membuat pemeriksaan dan mendapati mayat di dalam beg itu tidak mempunyai bahagian kepala dan kaki.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Farid Al Atrash ketika dihubungi wakil The Rakyat Post Pulau Pinang mengesahkan penemuan mayat yang diipotong itu dan berkata siasatan sedang dilakukan pihaknya.
Beliau berkata, polis percaya mangsa dibunuh dan mayatnya dipotong di tempat lain sebelum bahagian badan yang diletakkan di dalam beg pakaian itu dibuang berdekatan surau berkenaan.
Bahagian kepala dan kaki mangsa setakat ini belum ditemui.
“Buat masa ini kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan mayat telah dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat,” katanya.Credit therakyatpost dan HM
0 Response to "Kejam : Mayat tanpa kepala dan kaki ditemui dalam beg di George Town ( 3 Gambar ) "
Catat Ulasan