Selepas mencipta sejarah berjalan kaki secara solo sejauh 280
kilometer dari Kuantan ke Stadium Shah Alam, Selangor setelah Pahang
menamatkan penantian 21 tahun menjulang Piala Malaysia tahun lepas,
seorang bekas pengawal keselamatan melakukan perkara serupa tahun ini.
Hari ini, dua hari selepas skuad Tok Gajah menjuarai piala berprestij
itu buat kali kedua-dua berturut-turut, Abdul Majid Abdul Hamid, 58,
atau Pak Majid sekali lagi membuat kejutan bagi menunaikan nazarnya
untuk berjalan kaki mengelilingi Semenanjung Malaysia.
Memulakan langkah tepat 9.30 pagi dari Stadium Darul Makmur di sini,
beliau yang ditemui selepas sejam berjalan kaki, berharap usaha yang
cuba dilakukannya itu akan dapat dilaksanakan sebaik mungkin.
"Apa yang saya lakukan bukan mencari glamor atau apa-apa imbuhan
tetapi sebagai peminat setia Pahang atas kejayaan pasukan itu merangkul
Piala Malaysia buat kali kedua berturut-turut," katanya yang berbekalkan
beberapa helai pakaian serta membawa bendera Pahang dan Malaysia dalam
perjalanan itu.
Abdul Majid berkata, beliau tidak terganggu jika ada pihak yang
mengkritik usaha tersendiri yang dilakukannya itu, sebagai tanda
sokongan kepada skuad Tok Gajah.
"Saya rasa gembira dan tidak menyangka, dalam tempoh satu jam
berjalan kaki, ramai penduduk memberi sokongan termasuk membunyikan hon
kenderaan dan berhenti mengambil gambar kenangan bersama saya," katanya.
Beliau berkata, kejayaan yang dicipta sebelum ini, mendorong beliau untuk sekali lagi menunaikan nazarnya itu, kali ini.
Abdul Majid berkata, beliau akan memulakan perjalanan menuju ke
Keratong, Rompin menggunakan laluan Kuantan-Segamat dan memasuki Melaka
sebelum melalui destinasi lain dan dijangka menamatkan perjalanan itu
dalam masa dua bulan di Stadium Darul Makmur.
Seorang peminat pasukan Pahang, Rosli Rozak, 38, berkata beliau kagum
dengan usaha yang dilakukan Pak Majid itu dan menganggapnya sesuatu
yang luar biasa berikutan faktor umur beliau sekarang.
Pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lepas,
Pahang menewaskan Johor Darul Ta'zim (JDT) 5-3 menerusi penentuan
sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 2-2 selepas masa
tambahan.
0 Response to "Pak Majid mulakan perjalanan tunai nazar keliling Malaysia "
Catat Ulasan